Monday 9 November 2015

Rakyat Myanmar mengundi



Suu Kyi dikerumuni wartawan dan jurugambar ketika meninggalkan sebuah pos mengundi di Yangon, Myanmar semalam.- AFP


YANGON – Rakyat Myanmar keluar membuang undi semalam dalam pilihan raya bebas pertama di negara itu dalam tempoh 25 tahun bagi memberi laluan kepada pemerintahan demokrasi.
Parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi (gambar kecil), Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) dijangka mendapat undi paling besar daripada kira-kira 30 juta pengundi yang memilih dalam beberapa ribu anggota Parlimen dan wakil rakyat tempatan.
Namun, legasi pemerintahan tentera di Myanmar bermakna beliau tidak boleh menjadi Presiden selepas pilihan raya walaupun NLD menang besar, manakala ramai pengundi sangsi pemimpin-pemimpin tentera akan menerima keputusan pilihan raya bebas itu.
“Saya telah melakukan tanggungjawab saya untuk mewujudkan demokrasi,” kata seorang bekas guru, Daw Myint selepas mengundi untuk NLD di Yangon.
Sementara itu, kereta Suu Kyi dikerumuni wartawan dan jurugambar ketika beliau tiba di sebuah pos mengundi di luar Yangon untuk membuang undi.
Di ibu kota Myanmar, Naypyidaw pula Ketua Komander Tentera, Min Aung Hlaing berkata, tiada pilihan raya semula seperti yang berlaku pada 1990 apabila Suu Kyi memperoleh kemenangan tetapi ditolak oleh junta tentera.
Suu Kyi, 70, menghabiskan masa 20 tahun selepas itu berada di bawah tahanan dalam rumah sebelum dibebaskan pada 2010.
Ditanya apakah perasaan beliau jika NLD menang kali ini, Min Aung memberitahu wartawan: “Jika rakyat memilih mereka, tiada sebab untuk kami tidak menerimanya.”
Untuk menubuhkan kerajaan dan memilih presidennya sendiri, NLD secara bersendirian atau bersama pakatannya perlu menang lebih dua pertiga daripada semua kerusi yang dipertandingkan.
Berbeza pula dengan parti pemerintah, Parti Kesatuan Solidariti Dan Pembangunan (USDP) hanya memerlukan bilangan kerusi yang jauh lebih kecil untuk memerintah sekiranya ia mendapat sokongan blok tentera di Parlimen.
Keputusan pilihan raya kali ini dijangka diketahui secara beransur-ansur. Beberapa pegawai pilihan rata berkata, pemenang sebilangan kecil kerusi Parlimen akan diumumkan lewat malam tadi dengan keputusan keseluruhan dijangka paling awal diketahui petang ini.
Dalam ucapan prapilihan raya pada petang Jumaat lepas, Presiden Thein Sein menegaskan bahawa kerajaan komited untuk memastikan pilihan raya kali ini berjalan secara telus dengan lebih 10,000 pemerhati mengawasi proses tersebut yang melibatkan sejumlah 91 parti politik.
Kawalan keselamatan di seluruh Myanmar juga ketat. Seramai 40,000 anggota polis ditugaskan untuk mengawasi pusat-pusat mengundi di seluruh negara. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3qwXuzvRT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment