Sunday 2 November 2014

PBB gesa Myanmar gugur rancangan


02 November 2014 2:11 AM
Kanak-kanak Rohingya mendapatkan perlindungan di kem-kem pelarian

Kanak-kanak Rohingya mendapatkan perlindungan di kem-kem pelarian di Sittwe pada 2 April lalu yang menempatkan kira-kira 20,000 pelarian. - REUTERS

NEW YORK 1 Nov. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangka draf resolusi terbaharu menggesa Myanmar menggugurkan rancangannya menghendaki etnik Rohingya menggunakan identiti baharu dan mahu Yangon ‘memberi akses penuh kerakyatan atas prinsip sama rata’.
Resolusi yang dirangka Kesatuan Eropah itu meletakkan tekanan kepada negara Asia Tenggara itu supaya mengubah kempennya, sebaik-baiknya sebelum kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang akan menghadiri sidang kemuncak serantau di Myanmar dua minggu lagi.
Myanmar mahu menggunakan identiti ‘Bengali’ bagi etnik Rohingya dengan menggambarkan mereka sebagai pendatang asing dari Bangladesh.
Resolusi itu yang kini berada di peringkat jawatankuasa hak asasi manusia PBB adalah tidak terikat, namun undian kuat bagi menyokong draf itu akan membawa mesej bahawa masyarakat antarabangsa tidak menyebelahi rancangan Myanmar itu.
Draf itu menggambarkan ‘kebimbangan serius’ PBB terhadap status Rohingya dan meminta kerajaan Myanmar ‘membenarkan pergerakan bebas dan akses sama rata kerakyatan penuh kepada etnik Rohingya’, sekali gus ‘membenarkan mereka menggunakan identiti mereka sendiri’.
Kira-kira 1.3 juta penduduk Rohingya dinafikan kerakyatan, selain berdepan serangan daripada penganut Buddha, mengakibatkan ratusan terbunuh dan 140,000 lagi terperangkap di kem-kem pelarian, manakala selebihnya menjadi pelarian di negara jiran.
Presiden Myanmar, Thein Sein menganggap 'Pelan Tindakan Rakhine’ akan membuatkan etnik Rohingya bukan sahaja tidak layak memohon kewarganegaraan, malah mereka bakal ditahan dan kemungkinan diusir. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pbb-gesa-myanmar-gugur-rancangan-1.19521#sthash.rfE6tqEb.dpuf

No comments:

Post a Comment