Tuesday 11 November 2014

Warga Myanmar Di Pulau Pinang Kini Lebih Berwaspada

Kyaw Kyaw (kiri) bersama adiknya Win Win Than.
GEORGE TOWN: Pekerja kilang, Soe Kyaw Kyaw sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali mendengar berita terdapat pergaduhan kaum di negaranya, Myanmar.

Jelas Kyaw Kyaw, dia sentiasa risau jika dipukul menggunakan topi keledar atau disepak oleh rakan negaranya ketika berbasikal.

"Setiap kali mendengar berita ada konflik di antara Muslim dan Buddha di Myanmar, saya berasa takut," katanya yang tinggal di flat Taman Juru, Bukit Mertajam.|

"Akan ada konfrontasi dan gangguan fizikal tetapi tidak sampai mengambil nyawa seseorang."

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, peningkatan jumlah warga Myanmar dibunuh di Pulau Pinang menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Kyaw Kyaw yang telah tinggal di sini selama lapan tahun berkata, dia selesa dengan kejiranan di sini, namun perasaan seram timbul apabila mendengar cerita dari kawan-kawannya yang tinggal di daerah lain.

"Dua orang kawan saya dirompak di Bukit Tengah dan salah seorangnya dibunuh.

"Kawan saya yang terselamat itu telah balik ke Myanmar," jelasnya.

Tambahnya, biasanya pergaduhan atau pertelingkahan  berlaku apabila ada di antara mereka yang mabuk.

Sementara itu, seorang lagi warga Myanmar, Naing Lin,23, berkata dia berasa selamat tinggal di sini.

Naing Lin


"Selama empat tahun di sini, saya berada dalam keadaan selamat," jelasnya.

Dalam pada itu, masyarakat tempatan yang melakukan aktiviti riadah di Taman Kebun Bunga tetap menganggap kadar jenayah di Pulau Pinang tidak membimbangkan walaupun ada pihak menemui mayat tanpa kepala minggu lalu.
Seorang pengurus syarikat tempatan, Wendy Wong,26, menganggap pembunuhan ngeri itu sebagai kes terpencil.
"Saya rasa aman berjoging di sini. Saya datang ke sini hampir setiap hari dan tidak pernah mendengar apa-apa jenayah berlaku di kawasan ini kecuali satu kejadian itu, "katanya.
Selain itu, H C Lee, 67, berkata, taman itu masih pilihan utama untuk dia berjalan-jalan pada waktu pagi.
"Wanita itu telah dibunuh sebelum mayatnya dibuang di sini. Bagi saya taman itu masih selamat dan aman," katanya.
Seorang anggota bomba, Mohd Ali Ahmad, 38, berkata dia selalu melakukan aktiviti mendaki pada waktu malam.

"Polis sentiasa membuat rondaan di kawasan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment