Monday 17 November 2014

Nasib 12,000 Rohingya jadi tanda tanya


17 November 2014 12:58 AM

Gambar bertarikh 10 Julai tahun lalu, menunjukkan seorang lelaki Rohingya menangis ketika berdoa selepas bersolat di Pusat Tahanan Imigresen di wilayah Kanchanaburi, Thailand. – Reuters

Wanita dan kanak-kanak Rohingya menaiki sebuah bot sebelum ditahan oleh pasukan pengawal sempadan Bangladesh di Teknaf pada 13 Jun 2012, ketika cuba menyeludup masuk ke negara itu ekoran keganasan agama di Rakhine, barat Myanmar. – AGENSI 
SITTWE 16 Nov. – Kira-kira 12,000 pelarian etnik Rohingya yang me­ninggalkan Myanmar dengan menaiki bot sepanjang bulan lalu, dilapor masih belum tiba ke destinasi, sekali gus meningkatkan kebimba­ngan ahli keluarga dan pertubuhan hak asasi manusia tentang nasib etnik minoriti itu yang dikhuatiri dihalang menghampiri kawasan pantai.
Menurut penyelaras Projek Arakan yang membela nasib etnik Rohingya di Myanmar, Chris Lewa, ribuan etnik itu, kebanyakannya pelarian dari negeri Rakhine, meninggalkan negara terbabit sejak 15 Oktober lalu dengan menggunakan laluan laut di Teluk Bengal.
Jelas Lewa, dalam tempoh sama, kira-kira 4,000 orang meninggalkan Bangladesh, termasuk etnik Rohingya, dipercayai menuju ke Malaysia, tetapi perlu menempuh perjalanan melalui Thailand.
Tambahnya, orang hanyut berdepan risiko yang tinggi apabila berada di Thailand kerana kumpulan penyeludup dan sindiket pedagang manusia akan menahan mereka di sebuah kem di dalam hutan yang bersempadan dengan Malaysia sehingga ahli keluarga membayar wang tebusan untuk dilepaskan.
“Kira-kira 460 orang hanyut ditemui dan ditahan oleh pihak berkuasa Thailand pada bulan ini, tetapi nasib beribu-ribu lagi pelarian tersebut tidak diketahui dan mereka tidak menghubungi ahli keluarga masing-masing.
“Kali terakhir kes seperti ini berlaku pada 2008 apabila beratus-ratus pela­rian Rohingya ditemui dalam keadaan lapar dan kekurangan air akibat terkandas di lautan dan dipercayai ramai lagi mangsa yang hilang di laut,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalaman Thailand (ISOC), Banpot Phunpian berkata, pihak berkuasa telah mengambil langkah tertentu bagi menghalang bot pelarian daripada menghampiri kawasan pantai negaranya.
Bagaimanapun katanya, beliau percaya beribu-ribu pelarian yang me­ninggalkan Myanmar pada bulan lepas disembunyikan atau bersembunyi di kawasan pulau dekat Thailand. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nasib-12-000-rohingya-jadi-tanda-tanya-1.25492#sthash.snF06zst.dpuf

No comments:

Post a Comment