Wednesday 19 November 2014

Bangladesh selamatkan lebih 600 mangsa penyeludupan manusia

SELASA, 18 NOVEMBER 2014 @ 4:32 PM

 
DHAKA: Lebih 600 mangsa penyeludupan manusia dari Myanmar dan Bangladesh berjaya diselamatkan dalam operasi terbesar yang dijalankan pihak berkuasa Bangladesh, di perairan negara itu hari ini.

Mangsa ditemui di dalam sebuah bot nelayan sepanjang 22 meter yang belayar menggunakan bendera Myanmar kira-kira 400 kilometer dari ibu negara Dhaka, demikian menurut jurucakap tentera laut, Laksamana M Rashed Ali.

Beliau berkata, bot ikan berkenaan dipercayai menunggu sebuah lagi kapal yang akan membawa mangsa penyeludupan manusia itu ke lautan menuju ke Malaysia.

Seramai 14 kru bot berkenaan ditahan.

Pegawai Pengawal Pantai Bangladesh berkata, mangsa dipercayai hendak diseludup ke dalam bot atau kapal untuk di bawa ke Malaysia namun selalunya mereka ditawan dan dibawa ke hutan di Thailand di mana penculik akan meminta wang tebusan.

Mangsa biasanya akan ditahan sehingga keluarga atau waris mereka membayar wang tebusan untuk membolehkan mereka dibebaskan.

Sekiranya wang tebusan tidak dibayar, mereka biasanya akan dibunuh atau dijual sebagai hamba.

Ribuan etnik Rohingya meninggalkan Myanmar sejak beberapa bulan lalu dan masih tidak sampai ke destinasi yang dituju, demikian menurut ahli keluarga mereka. - REUTERS

No comments:

Post a Comment