Friday 11 April 2014

Polis, tentera sengaja ganggu Rohingya


DUA orang penduduk, berdiri di hadapan pintu tempat perlindungan mereka ketika seorang anggota tentera menyaksikan proses bancian dijalankan di sebuah kem pelarian Rohingya di Sittwe, Rakhine pada 1 April lalu. - REUTERS
SITTWE 10 April - Pasukan keselamatan Myanmar didakwa bekerjasama dengan pihak pentadbiran daerah, majlis perbandaran, dan jawatankuasa kampung bagi mengganggu penduduk Rohingya hingga ada di antara wanita etnik itu turut dirogol pihak berkuasa.
Burma Times melaporkan, keadaan itu dilaporkan bermula sejak 1 April lalu dengan pasukan keselamatan akan berkelakuan kurang sopan terhadap wanita apabila ketiadaan lelaki yang bertindak sebagai ketua keluarga di rumah.
Kadang-kala, wanita Rohingya yang cantik sengaja ditahan polis atas tuduhan palsu dan hanya akan dibebaskan selepas dirogol.
Kebanyakan kes penganiayaan itu dilaporkan berlaku di tiga kawasan yang dihuni etnik Rohingya iaitu di Rathedaung, Buthidaung and Maungdaw.
Malah, petugas bancian di kawasan Rohingya dilaporkan akan segera berhenti dan meninggalkan kawasan etnik itu selepas penduduk mahu dikenali sebagai bangsa Rohingya.
"Niat utama untuk mengharamkan Rohingya daripada proses bancian ini adalah untuk menjadikan kami sebagai etnik Benggali," kata warga tua Rohingya, menurut satu tinjauan tentang 'mengapa pihak berkuasa meningkatkan gangguan ke atas Rohingya selepas proses bancian bermula' yang dikendalikan oleh Burma Times di barat Myanmar.
Dalam perkembangan berasingan, Bangladesh dilaporkan meminta bantuan masyarakat antarabangsa bagi pelaksanaan Dasar Kebangsaannya dalam menangani isu warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di negara itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140411/lu_06/Polis-tentera-sengaja-ganggu-Rohingya#ixzz2yWG8ub3x
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment