Wednesday 9 April 2014

Kumpulan bantuan terpaksa keluar dari Rakhine


YANGON 8 April - Masyarakat Rohingya berdepan masalah kekurangan bekalan air dan perubatan yang kritikal di barat Myanmar ekoran beberapa serangan ke atas sukarelawan bantuan kemanusiaan yang memaksa kumpulan-kumpulan itu berundur.
Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi ke Myanmar, Tomas Ojea Quintana berkata, keadaan itu akan meningkatkan lagi jumlah jenayah perang ke atas etnik minoriti tersebut.
Quintana berkata, siri gelombang serangan terhadap organisasi bantuan kemanusiaan telah menyekat bekalan perubatan, air dan makanan sekali gus menyukarkan lagi kehidupan masyarakat Rohingya.
"Perkembangan di negeri Rakhine itu merupakan yang terbaharu sepanjang sejarah diskriminasi dan penindasan terhadap komuniti Rohingya yang boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.
Kira-kira 170 pekerja bantuan kemanusiaan terpaksa keluar dari Rakhine ekoran beberapa serangan pada akhir bulan lalu, jumlah paling besar sejak krisis tersebut berlaku.
Pemindahan beramai-ramai pasukan kemanusiaan itu meruncingkan lagi keadaan kesihatan beratus ribu mangsa yang bergantung kepada bantuan perubatan antarabangsa di 140,000 khemah selain lebih 700,000 orang lain di kampung-kampung terpencil terjejas teruk.
Quintana berkata, bekalan air juga akan mencapai paras yang kritikal dalam masa seminggu di sebahagian kem yang menempatkan pelarian yang majoritinya orang Islam.
Beliau turut mendesak pihak berkuasa melakukan tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan anggota sukarelawan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140409/lu_05/Kumpulan-bantuan-terpaksa-keluar-dari-Rakhine#ixzz2yKtzr83m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment