Friday 11 April 2014

Wanita Myanmar belasah kanak-kanak dijel 8 bulan


KUALA LUMPUR 9 April - Perbuatan kejam seorang wanita warga Myanmar memijak muka dan memukul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dalam jagaannya terbalas apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Me Khaine, 33, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak tersebut di Pusat Bandar Utara Pasar Borong Baru Selayang di sini antara Oktober 2013 dan 16 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan cara memijak muka, memukul menggunakan tangan, rotan dan penyangkut baju terhadap mangsa.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan Khaine yang merupakan suri rumah menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh tangkap pada 17 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan ahli jawatankuasa surau berdekatan telah menerima panggilan telefon daripada komuniti Myanmar Pasar Borong Selayang mengenai kekecohan yang berlaku di rumah wanita itu.
Setibanya pengadu di rumah berkenaan mendapati mangsa telah dipukul oleh wanita berkenaan dan mengalami kecederaan di seluruh badan.
Melalui pemeriksaan doktor, mangsa mengalami lebam dan luka di seluruh badan serta terdapat kesan parut lama dan baharu berpunca daripada hentakan objek keras dan sebatan rotan.
Mangsa mengesahkan telah didera selama empat bulan sebelum wanita itu ditahan oleh pihak polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140410/ma_05/Wanita-Myanmar-belasah-kanak-kanak-dijel-8-bulan#ixzz2yWGghBYS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment