Wednesday 9 April 2014

Myanmar paling ramai pelarian


KUALA LUMPUR 8 April - Warga Myanmar mencatatkan jumlah pelarian dan pemohon suaka tertinggi di negara ini dengan seramai 132,187 orang termasuk 27,289 orang daripada etnik Rohingya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, secara keseluruhannya, jumlah pelarian dan pemohon suaka di Malaysia adalah seramai 142,160 orang dari pelbagai negara termasuk Myanmar, Afghanistan, Iraq, Somalia dan Sri Lanka.
Jelas beliau, Malaysia tidak mengiktiraf pelarian kerana negara ini tidak menandatangani perjanjian Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951.
"Maka kita anggap mereka (pelarian) ini sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tetapi pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) adalah dibenarkan tinggal sementara di negara ini.
"Golongan itu juga dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Imigresen 1959," katanya menjawab soalan Datuk Mohd. Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohd. Johari bertanyakan jumlah pelarian di negara ini khususnya etnik Rohingya dan usaha kerajaan bagi mengawal kehadiran golongan itu.
Menurut Shahidan, pelarian yang memegang kad UNHCR mempunyai beberapa keistimewaan termasuk kemudahan rawatan kesihatan di hospital kerajaan dan peluang melanjutkan pelajaran di sektor pendidikan swasta.
Jelasnya, walaupun pelarian terbabit bebas untuk bergerak tanpa ditahan tetapi mereka masih tetap terikat dengan undang-undang di negara ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh), Shahidan ber­kata, pelarian etnik Rohingya tidak akan dihantar pulang ke negara asal secara paksaan sebaliknya bergantung kepada kerelaan pelarian itu.
"Sekiranya dia (pelarian) secara sukarela balik ke negara asal mereka, kita benarkan tetapi sekiranya mereka balik tetapi ada masalah (penindasan dan kezaliman) kita tidak akan berbuat demikian (hantar pulang)," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140409/pa_05/Myanmar-paling-ramai-pelarian#ixzz2yZI5SjBM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment