Saturday 26 April 2014

8 maut akibat kekurangan makanan


YANGON 25 April - Sukarelawan agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) mendedahkan, etnik Islam Rohingya yang berada di kem pelarian di negara ini berha­dapan masalah kekurangan makanan dan bantuan perubatan.
Laman web presstv.ir yang memetik seorang sukarelawan melaporkan, sekurang-kurang­nya lapan orang sudah meninggal dunia dan 31 orang bayi dilahirkan dalam persekitaran yang kotor sejak awal tahun ini.
Selain itu, wanita dan kanak-kanak di kem tersebut turut terganggu dari segi mental dan fizikal.
"Kami cuba untuk menghantar seorang wanita yang sarat mengandung ke kampung berdekatan yang mempunyai doktor, namun wanita ber­kenaan telah meninggal dunia," jelas sukarelawan itu, semalam.
Menurut laporan, beratus-ratus ribu penduduk Islam Rohingya di Myanmar kini berhadapan dengan masalah kekurangan makanan dan air, susulan proses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Rakhine diperlahankan selepas berlakunya keganasan kaum.
Beratus-ratus pekerja bantuan kemanusiaan antarabangsa terpaksa dipindahkan dari Sittwe, ibu negeri Rakhine, selepas sebuah gudang milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserang pada 27 Mac lalu.
PBB sudah meminta bantuan daripada kerajaan Myanmar untuk memberi perlindungan kepada para sukarelawan tersebut, yang berada dalam ketakutan berikutan berlakunya keganasan dan rusuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, kerajaan Myan­mar mahu kumpulan bantuan kemanusiaan melaporkan aktiviti mereka bagi membolehkan satu badan khas ditubuhkan bagi melindungi agensi-agensi tersebut.
Sebelum ini, Myanmar sering dikritik oleh badan-badan hak asasi manusia kerana gagal melindungi penduduk Islam Rohingya di Rakhine.
Menurut PBB, etnik Rohingya merupakan komuniti paling teruk ditindas di dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140426/lu_05/8-maut-akibat-kekurangan-makanan#ixzz2zwRhT0CN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment