Thursday 10 April 2014

Myanmar akhirnya akui kesilapan


Sebahagian kotak yang berisi bekalan bantuan, bersepah selepas sebuah gudang milik Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) diserang dalam keganasan agama di Sittwe, negeri Rakhine, Myanmar pada 28 Mac lalu. - REUTERS
YANGON 9 April - Myanmar buat pertama kalinya mengakui, lambat memberikan tindak balas terhadap keganasan di Rakhine sehingga memaksa kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan keluar daripada negeri itu bulan lalu.
Keadaan itu mengakibatkan penduduk terutamanya etnik Rohingya Islam berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan air bersih.
“Kerajaan Myanmar mengakui tidak memberi maklum balas segera dan berkesan untuk melindungi kumpulan-kumpulan bantuan di Sittwe.
“Kami berjanji akan menyediakan kawalan keselamatan berkesan kepada rakyat asing, kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sukarelawan bantuan antarabangsa," jelas kerajaan Myanmar dalam satu kenyataan.
Kenyataan dikeluarkan menerusi laman web Pejabat Presiden itu merupakan yang pertama seumpamanya, mengambil kira sikap Myanmar yang sering berdolak-dalik berhubung isu membabitkan etnik Rohingya sebelum ini.
Keganasan di Rakhine mengakibatkan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menghubungi Presiden Myanmar, Thein Sein dan merayu supaya Yangon memberi perlindungan kepada orang awam dan pekerja bantuan antarabangsa di situ.
Selain itu, Amerika Syarikat (AS) turut menyuarakan kebimbangannya terhadap layanan ke atas pekerja bantuan asing manakala Britain kelmarin, memanggil duta Myanmar bagi menzahirkan 'kebimbangan mendalam mereka' tentang perkara tersebut.
Lebih 170 pekerja bantuan asing meninggalkan Rakhine selepas serangan keganasan tercetus akibat tindakan seorang kakitangan kumpulan bantuan perubatan Jerman, Malteser International menurunkan bendera Buddha di hadapan rumah sewanya.
Kumpulan bantuan antarabangsa mendapat tekanan hebat daripada penduduk Buddha di Rakhine yang menuduh mereka berat sebelah dan memihak kepada penduduk Rohingya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140410/lu_02/Myanmar-akhirnya-akui-kesilapan#ixzz2yS9jhdCh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment