Monday 14 April 2014

Britain dikritik biayai bancian di Myanmar

LONDON 13 April - Sebuah pertubuhan hak asasi manusia menggesa agar siasatan dijalankan terhadap tindakan kerajaan Britain membiayai bancian di Myanmar yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa melakukan diskriminasi terhadap etnik Islam Rohingya.
Portal berita Karennews melaporkan gesaan itu dibuat oleh kumpul­an Burma Campaign UK yang beribu pejabat di Britain yang bertindak mengupah seorang pegawai penyiasat bagi menyiasat tindakan London menyalurkan bantuan sebanyak AS$16 juta (RM51 juta) bagi membantu kerajaan Myamnar menjalankan bancian tersebut.
Pengarahnya, Mark Farmener turut mempersoalkan tindakan Jabatan Pembangunan Antarabangsa Britain (DFID) membiayai bancian oleh kerajaan Myanmar yang berbaur perkaum­an dan diskriminasi, selain melanggar hak asasi manusia.
“Bancian itu akan menyebabkan kanak-kanak (Rohingya) mati, dan ia disebabkan oleh bantuan antarabangsa termasuk DFID," katanya.
Kerajaan Myanmar berdepan kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi manusia antarabangsa kerana mengenepikan hak etnik Rohingya dalam bancian itu dan melabelkan golongan minoriti itu sebagai kaum Benggali.
Sementara itu, pegawai khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditugaskan memantau situasi hak asasi manusia di Myanmar, Tomás Ojea Quintana memberi amaran, keadaan meruncing di negeri Ra­khine, tempat etnik Rohingya menetap, boleh meningkatkan kes jenayah kemanusiaan, disebabkan bancian yang berat sebelah tersebut.
Selain di Rakhine, beberapa etnik lain turut membantah isu berhubung kategori etnik yang dimasukkan dalam bancian berkenaan.
“Semasa saya bertemu wakil masyarakat di negeri Kachin, mereka mendakwa wakil kerajaan menjalankan bancian berkenaan tanpa mengambil kisah tentang isu yang dihadapi oleh penduduk setempat," katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment