Sunday 13 April 2014

Etnik Rohingya terdedah kepada bahaya

 SITTWE 12 April - Penggantungan operasi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Rakhine selepas pejabat mereka diserang kumpulan pelampau Buddha mengakibatkan nasib kumpulan minoriti khasnya etnik Rohingya lebih banyak terdedah kepada bahaya.
Portal berita Burma Times melaporkan, beberapa minggu selepas operasi NGO itu dihentikan, situasi kemanusiaaan bagi penduduk Myanmar khasnya kepada kumpulan yang lemah seperti Rohingya menjadi semakin teruk.
Menurut portal itu, keadaan tersebut paling banyak memberi kesan kepada etnik Rohingya kerana kebanyakan mereka tinggal di kem-kem pelarian.
Etnik Rohingya sering berhadapan dengan sekatan-sekatan daripada kerajaan dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kumpulan kumpulan NGO bagi kelangsungan hidup mereka.
Dalam perkembangan berasingan, Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Amerika Syarikat (AS), Daniel Russel melahirkan kebimbangannya tentang keadaan di Rakhine semasa mengadakan pertemuan dengan Presiden, Thein Sein dan pegawai tinggi kerajaan Myanmar di Naypidaw, kelmarin.
Dalam pertemuan itu katanya, beliau memberi tumpuan kepada rancangan jangka panjang dan pendek kerajaan terhadap negeri Rakhine dan menzahirkan kebimbangan AS tentang kebebasan media di negara ini.
“Saya melahirkan kebimbangan Washington tentang situasi kemanusiaan serta harapan tinggi dan jangkaan kami bahawa kerajaan akan menyediakan keselamatan dan akses yang diperlukan kepada agensi kemanusiaan antarabangsa dalam memenuhi keperluan masyarakat di negeri Rakhine," katanya.

No comments:

Post a Comment