Monday 7 April 2014

Etnik Rohingya diserang lagi


Penduduk memeriksa kawasan seitar kediaman mereka selepas pelampau Buddha menyerang kawasan dihuni etnik Rohingya di bandar Hlegu, pinggir Yangon pada 4 April lalu. - AGENSI
YANGON 6 April - Penduduk Islam Rohingya terus menjadi mangsa keganasan di Myanmar, selepas etnik minoriti itu dilaporkan diserang sekumpulan pelampau Buddha dalam satu keganasan agama terbaharu di bandar Hlegu, pinggir ibu negara ini, kelmarin.
Burma Times melaporkan, kira-kira 100 orang pelampau Buddha melontar batu dan kayu ke arah etnik Rohingya di bandar itu dan mereka turut cuba merosakkan sebuah bangunan serta memusnahkan rumah-rumah dan kedai-kedai milik penduduk Rohingya.
Ekoran serangan itu, tercetus pertempuran antara kedua-dua belah pihak mengakibatkan beberapa orang cedera termasuk anggota polis yang cuba meleraikan keganasan tersebut.
Keganasan yang dicetuskan penduduk Buddha itu merupakan insiden terbaharu selepas beratus-ratus penduduk Buddha menyerang pejabat kumpulan bantuan perubatan Malteser International dalam satu kejadian di negeri Rakhine, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berasingan di bandar Maungdaw di Rakhine, dua buah kapal sarat membawa tentera Myanmar dilaporkan tiba di Kampung Kyein Chaung dan Bolibazar melalui sungai Pyuma Chaung, lapor Burma Times.
Menurut penduduk, kehadiran tentera di kedua-dua kampung itu adalah di luar jangkaan penduduk dan mereka sama sekali tidak mengetahui tujuan kehadiran tentera di situ.
Penduduk Rohingya kini dalam keadaan dilema dengan kehadiran pasukan keselamatan dan pekerja banci secara serentak memaksa etnik itu mengenalkan diri mereka sebagai Benggali.
Pengerusi Bancian Myanmar, Dr. Kyaw Maung Maung Thein dan Dr. U Ko Ning dilaporkan telah pergi ke perkampungan-perkampungan Rohingya dan mengadakan rundingan dengan guru sekolah supaya menulis terma Benggali pada proses bancian yang akan dijalankan, namun diabaikan guru di situ,
Bukan sahaja guru, pemimpin etnik Rohingya serta doktor dan ahli Parlimen turut menolak proses rundingan yang mencadangkan penduduk menulis keturunan mereka sebagai Benggali, sekali gus memaksa pihak berkuasa memanggil pemimpin Rohingya supaya hadir ke Naypyidaw bagi membincangkan episod Rohingya seterusnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140407/lu_01/Etnik-Rohingya-diserang-lagi#ixzz2yCPDSBIR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment