Monday 24 June 2013

MRA rancang bina rumah panjang di Myanmar


KUALA LUMPUR - Agensi Bantuan Malaysia (MRA) merancang membina 30 unit rumah panjang di Sittwe Arakan, Myanmar sebagai penempatan sementara mangsa ketegangan kaum yang kehilangan tempat perlindungan.
 
Pengerusi MRA Datuk Dr Abdul Razak Kechik berkata badan kemanusiaan itu memperoleh kebenaran pihak berkuasa tempatan bagi pembinaan rumah panjang bernilai kira-kira RM20,000 seunit yang mampu menempatkan 10 keluarga.
 
"Pada masa ini, mangsa yang kehilangan rumah dan harta benda, sedang menetap di dalam khemah yang daif di Sittwe. Dana untuk membina rumah ini amat diperlukan dan kita mengharapkan bantuan orang ramai," katanya ketika merasmikan Kempen Ramadan 1434 dengan slogan 'Dekat Di Mata Lekat Di Hati' di sini hari ini.
 
Selain bantuan tempat perlindungan, bantuan makanan kering bagi tempoh sebulan seperti beras, tepung, gula, garam dan minyak masak akan turut disalur kepada orang Islam yang ditindas di sana, katanya.
 
"MRA berharap rakyat Malaysia berganding bahu untuk membantu Muslim Rohingya yang sangat memerlukan bantuan perlindungan dan makanan dengan kadar segera," katanya.
 
Sumbangan boleh disalur kepada MRA melalui akaun Maybank bernombor 5640 9820 6365, dan untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang www.mra.my atau hubungi talian 03-2697 2007 atau 012-4668 033 atau alamat e-mel MRA admin@mra.my. - Bernama

No comments:

Post a Comment