Monday 3 June 2013

Etnik Rohingya mangsa dasar dua anak seterusnya...

Etnik Rohingya mangsa dasar dua anak seterusnya...
Etnik Rohingya mangsa dasar dua anak seterusnya...
PENDUDUK Islam Rohingya sekali lagi berhadapan dengan penindasan selepas pihak berkuasa di Rakhine, barat Myanmar bertindak mengesahkan peraturan mengehadkan dua anak dalam sebuah keluarga etnik Rohingya yang diperkenalkan pada 2005.

Bagaimanapun, dasar itu tidak dikenakan ke atas penduduk Buddha dan ia diumumkan selepas insiden keganasan etnik terbaru yang melanda tengah Myanmar sejak Mac lalu.

Ia akan dikuatkuasakan di Buthidaung dan Maundaw terletak bersempadan Bangladesh yang didiami 95 peratus penduduk Islam.

Peraturan luar biasa tersebut turut menjadikan Myanmar sebagai satu-satunya negara di dunia yang mengenakan dasar seumpama itu kepada sebuah kumpulan agama dan ia semestinya mencetuskan kritikan kerana orang Islam terus berhadapan dengan diskriminasi kaum.

Jurucakap kerajaan Rakhine, Win Myaing memberitahu program baru tersebut bertujuan untuk mengekang pertumbuhan masyarakat Islam yang didakwa kononnya sebagai antara punca keganasan etnik tercetus di Myanmar.

Bagaimanapun, pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi mengecam langkah itu yang disifatkan sebagai menyalahi undang-undang dan satu bentuk diskriminasi kerana tidak selaras dengan hak asasi manusia.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, terdapat banyak sekatan telah dikenakan di beberapa kawasan yang didiami oleh penduduk Islam Rohingya sejak 2005.

Timbalan Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia di Asia, Phil Robertson turut mengutuk sekeras-kerasnya dasar itu.

"Ia sememangnya satu bentuk penganiayaan yang besar," katanya.

Pada pertengahan 1970-an, India juga menjadikan amalan perancangan keluarga sebagai usaha untuk mengawal populasi penduduk selepas kebebasan awam digantung semasa zaman darurat tetapi program itu dihentikan berikutan menerima bantahan seluruh negara.


Sekatan berterusan

Sebelum ini, pasangan etnik Rohingya yang mahu berkahwin perlu memberi jaminan bertulis bahawa mereka tidak akan mempunyai lebih dua anak dan boleh dikenakan denda atau dipenjarakan jika gagal dipatuhi.

Wanita Rohingya yang hamil sebelum mendapat kebenaran rasmi untuk berkahwin atau mempunyai lebih dua anak dilaporkan terpaksa menjalani prosedur pengguguran yang tidak selamat.

Mereka mengambil tindakan berbahaya dan berisiko itu kerana takut dengan pihak berkuasa yang mengenakan peraturan setiap keluarga hanya boleh mempunyai dua anak.

Bagi mengelakkan peraturan seumpama itu, ada wanita Rohingya yang terpaksa memberi rasuah semata-mata untuk mendaftarkan perkahwinan atau menyembunyikan anak mereka kerana khuatir didenda atau dipenjarakan.

Difahamkan, status anak yang lahir dalam keluarga yang sudah mempunyai dua anak tidak akan diiktiraf kerajaan dan mereka juga tidak layak untuk mendapat pendidikan dan perkhidmatan lain.

Suruhanjaya Siasatan menganggarkan jumlah anak Rohingya yang tidak berdaftar mencecah 60,000 orang.

No comments:

Post a Comment