Wednesday 12 June 2013

Myanmar hantar delegasi ke Malaysia

YANGON 11 Jun - Kerajaan Myanmar hari ini menghantar satu delegasi ke Malaysia untuk menyiasat laporan tentang keganasan agama membabitkan rakyatnya yang bekerja di negara itu. Pengarah Pejabat Presiden, Zaw Htay yang memetik kenyataan Presiden Thein Sein berkata, delegasi tersebut akan melakukan yang terbaik untuk melindungi pekerja Myanmar di Malaysia dan kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan yang diterima. Beliau turut menggesa pekerja Myanmar di Malaysia untuk memaklumkan kepada delegasi berkenaan tentang perbalahan agama yang tercetus di antara pekerja Myanmar yang beragama Buddha dan Islam pada bulan ini yang menyebabkan enam orang mati dan 12 lagi cedera. Menurut laporan Kementerian Buruh Myanmar, terdapat kira-kira 300,000 rakyat negara ini yang masuk secara sah dan 40,000 orang lagi secara haram untuk bekerja di Malaysia. Perbalahan di Malaysia baru-baru ini dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik rusuhan agama di negeri Rakhine, membabitkan penduduk Myanmar beragama Buddha dan penduduk Islam Rohingya pada tahun lalu. Kira-kira 200 orang dilaporkan maut dalam rusuhan terbabit dan lebih 125,000 orang lagi menjadi pelarian. Dalam pada itu, syarikat penerbangan Myanmar hari ini mengumumkan menawarkan diskaun harga tiket sebanyak 50 peratus kepada pekerja yang mahu pulang dari Malaysia bermula esok hingga 12 Julai depan. Pertubuhan amal Myanmar juga dilapor bertungkus-lumus menghulurkan bantuan tiket pulang kepada rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia. Yayasan Aywyawady merancang untuk menyediakan tiket percuma kepada 1,000 pekerja Myanmar untuk pulang ke tanah air. - DPA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130612/lu_07/Myanmar-hantar-delegasi-ke-Malaysia#ixzz2Vxg2f8hS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment