Saturday 15 June 2013

Myanmar benar konvoi PBB memasuki Kachin

KANAK-KANAK di negeri Kachin, Myanmar ini akan menerima faedah daripada penghantaran makanan dan barangan keperluan daripada konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


YANGON - Sebanyak 10 buah lori konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan menghantar makanan dan barangan keperluan rumah untuk kali pertama dalam tempoh hampir setahun ke kawasan di luar kawalan pemerintah di utara Myanmar.
Pejabat Kemanusiaan PBB menyatakan semalam bahawa konvoi itu menghantar makanan, nutrien khas kanak-kanak, barangan keperluan rumah, kit kebersihan dan tablet pembersih air kepada sejumlah 5,100 daripada 100,000 orang yang menjadi pelarian ekoran pertempuran antara tentera Myanmar dengan pemberontak di negeri Kachin.
Rantau berkenaan bersempadan dengan China.
Jurucakap Hal Ehwal Kemanusiaan Pejabat PBB di Geneva, Jens Laerke berkata, ini adalah kali pertama pemerintah Myanmar membenarkan konvoi PBB memasuki negeri Kachin sejak Julai 2012.
Menurutnya, sejak Jun 2011 pertempuran antara pihak tentera dengan Pertubuhan Pembebasan Kachin telah memaksa sekitar 100,000 orang menjadi pelarian dengan 60,000 daripada mereka hidup tanpa bantuan pemerintah.
Myanmar berdepan pemberontakan sejak negara tersebut mencapai kemerdekaan pada 1948.
Beberapa etnik minoriti di Kachin mengangkat senjata kerana menuntut pemerintahan autonomi daripada pemerintah. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2WELqQa00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment