Thursday 20 June 2013

Pembinaan kem Rohingya di selatan Thai dibantah


Sengketa agama di negeri Rakhine, Myanmar antara etnik Buddha dan Rohingya Islam, turut menjejaskan keselamatan golongan wanita serta kanak-kanak. - AGENSI
BANGKOK 19 Jun - Penduduk beberapa kampung di wilayah Nakorn Sri Thammarat, selatan Thailand membantah rancangan kerajaan untuk membina kem sementara untuk pelarian etnik Rohingya Islam dari Myanmar.
Agensi berita Xinhua yang memetik polis melaporkan, kira-kira 5,000 penduduk daerah Cha-uad di Nakorn Sri Thammarat menandatangani satu petisyen membantah rancangan kerajaan tersebut.
Menurut penduduk Cha-uad, rancangan pembinaan kem di dalam kawasan kompleks pihak berkuasa Pasukan Peronda Sempadan ke-427 itu akan menyaksikan beribu-ribu pelarian Rohingya Islam ditempatkan di situ.
Penduduk bimbang kem yang dibina berhampiran sekolah dan kampung di daerah itu boleh menyebabkan penularan wabak penyakit bawaan etnik Rohingya Islam selain menjejaskan keselamatan dan kehidupan mereka.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Pracha Prasopdee akan ke kawasan berkenaan Jumaat ini untuk bertemu penduduk bagi menyelesaikan masalah itu.
Pelarian Rohingya beragama Islam yang melarikan diri daripada konflik berdarah di Myanmar, mendarat di pantai selatan Thailand sebelum ini dalam keadaan letih dan kekurangan makanan selain mencari tempat berlindung.
Pihak berkuasa menyediakan makanan dan tempat perlindungan sementara sebelum mengarahkan mereka ke negara lain.
Ketika kebanyakan pelarian Rohingya Islam diberikan perlindungan oleh pihak berkuasa dan penduduk Thailand, terdapat beberapa kes melibatkan etnik tersebut dilaporkan antaranya mereka menjadi mangsa rompak, diserang dan dibunuh dipercayai oleh dalang penyeludupan manusia. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130620/lu_03/Pembinaan-kem-Rohingya-di-selatan-Thai-dibantah#ixzz2WhtHgxX6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment