Friday 7 August 2015

Mangsa banjir Myanmar cecah 330,000 orang



AP - SEORANG lelaki mendayung sampannya dekat sebuah kejiranan yang ditenggelami air banjir di Nyaung Tone, Delta Ayeyarwaddy, barat daya Yangon kelmarin.


HINTHADA – Presiden Myanmar, Thein Sein meminta penduduk di kawasan rendah supaya berpindah semalam selepas air Sungai Irrawaddy melimpah dan membanjiri kawasan sekitarnya.
Banjir akibat hujan monsun yang melanda banyak kawasan di Asia Selatan dan Asia Tenggara sejak beberapa minggu lalu telah meragut beratus-ratus nyawa, manakala berjuta-juta penduduk hilang tempat tinggal.
Sebanyak 12 daripada 14 rantau di Myanmar masih digenangi air banjir, kata beberapa pegawai sambil menambah, sejumlah 74 mangsa terkorban dan lebih 330,000 orang terjejas.
Menurut beberapa agensi bantuan, banjir di sebahagian kawasan di utara dan barat Myanmar didapati sudah surut.
Keadaan itu membolehkan penghantaran bantuan makanan dan air bersih walaupun tanah runtuh masih menjadi ancaman.
Terkini, bahagian tengah dan selatan Myanmar pula bersiap-sedia menghadapi banjir selepas air bah mulai melimpah ke Delta Irrawaddy.
Dalam satu ucapan radio yang di­siarkan semalam, Thein Sein berkata, kawasan berdekatan Irrawaddy be­risiko ditenggelami air selepas paras air sungai melepasi paras bahaya.
“Oleh kerana kita tidak dapat menghalang bencana alam, saya menggesa orang ramai berpindah ke tempat lebih selamat. Ia adalah cara yang terbaik ,” katanya.
“Kawasan bandar Hinthada dan Nyaung Don di sepanjang Sungai Irrawaddy kini dalam bahaya,” tambahnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3i52M3h8B 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment