Friday 14 August 2015

Polis kepung ibu pejabat parti pemerintah Myanmar


14 Ogos 2015 12:31 AM


YANGON 13 Ogos – Ketua parti pemerintah Myanmar, Shwe Mann digugurkan daripada jawatannya hari ini, beberapa jam selepas pihak polis me­ngadakan serbuan dan mengepung ibu pe­jabat Parti Perpaduan dan Pembangunan Ke­satuan (USDP), sekali gus me­nunjukkan hala tuju politik tidak menentu di negara yang dalam proses perubahan ke arah demokrasi.
Dalam kejadian tengah malam tadi, polis memasuki ibu pejabat USDP di Naypyidaw dan Shwe Mann yang juga merupakan Speaker Parlimen, menjadi sasaran utama dalam proses pertukaran kuasa oleh Presiden, Thein Sein.
Tindakan itu juga berlaku hanya sehari sebelum tarikh akhir bagi calon untuk mendaftar dalam pilih­an raya yang akan berlangsung pada 8 November ini.
Hubungan Shwe Mann dan Thein Sein dilaporkan tegang sejak krisis dalaman parti tercetus menjelang pilihan raya umum yang menyaksikan kedua-dua pihak dijangka bertanding untuk memegang tampuk pemerintahan Myanmar.
Malah krisis kedua-dua pe­mimpin yang merupakan bekas Je­neral, semakin meruncing apabila menonjolkan peranan masing-masing untuk mengubah corak pemerintahan junta kepada sebuah negara yang demokrasi.
Dalam perkembangan sama, jurucakap Pejabat Presiden, Zaw Htay berkata, Thein Sein bersetuju dengan pengguguran Shwe Mann daripada jawatan Pengerusi USDP.
“Tindakan ini hanya melibatkan hal ehwal kepimpinan parti dan tiada sebab untuk bimbang,” kata Zaw Htay bagi menafikan dakwaan yang mengatakan pemimpin parti tersebut ditahan polis.
Zaw Htay menjelaskan, langkah itu dibuat sebagai usaha kerajaan untuk menstabilkan ketenteraman awam, tetapi beliau enggan memberikan butiran lanjut berhubung perkara tersebut.
Terdahulu, anak lelaki Shwe Maan, Toe Naing berkata, rumah ayahnya dikepung oleh pasukan keselamatan susulan serbuan yang dilancarkan di ibu pejabat USDP.
“Situasi ini menimbulkan keraguan kerana pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata dikerah mengepung sebuah parti politik,” katanya sambil menambah kata, beliau akan memantau perkara itu dari Yangon. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-kepung-ibu-pejabat-parti-pemerintah-myanmar-1.123919#sthash.dqv0PlS5.dpuf

No comments:

Post a Comment