Saturday 1 August 2015

Bah makin buruk di Myanmar



AFP - BEBERAPA kediaman musnah dilanda tanah runtuh akibat hujan lebat di Harkhar, dalam negeri Chin, Myanmar kelmarin.


YANGON – Banjir besar mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang di seluruh Myanmar manakala berpuluh-puluh ribu kediaman serta tanah penanaman tenggelam, kata seorang pegawai bantuan bencana semalam.
Hujan selama beberapa minggu menyebabkan ban­jir melanda sebahagian besar utara dan barat Myan­mar dengan penduduk di kawasan pedalaman terperangkap, sekali gus menghadkan pergerakan pasukan penyelamat.
Air yang semakin naik, banjir kilat dan tanah runtuh memusnahkan banyak jalan raya, jambatan dan rumah, menurut akhbar Myanmar, Global New Light of Myan­mar semalam.
Kehadiran sebuah puting beliung di Teluk Bengal dijangka menambah penderitaan penduduk di pesisir pantai dan barat negara itu.
“Setakat kelmarin, 27 orang telah terkorban dan empat mangsa hilang di Mandalay,” kata pengarah Jabatan Bantuan Dan Penempatan Semula di Kementerian Kebajikan Masyarakat, Chumhre.
Menurutnya, kira-kira 150,000 orang hilang tempat tinggal atau kehidupan mereka terjejas akibat banjir.
Pihak berkuasa meminta orang ramai supaya berpindah ke tempat lebih selamat di kawasan paling teruk terjejas banjir di rantau Sagaing dan ibu kota negeri Rakhine, Sittwe selepas penerbangan di bandar berkenaan dibatalkan.
Negeri Rakhine me­nempatkan kira-kira 140,000 pelarian, kebanyakannya etnik minoriti Islam Rohingya yang tinggal di kem-kem tepi pantai susulan keganasan agama tiga tahun lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3hVh0GB9g 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment