Friday, 21 August 2015

Neraka dunia

Kuala Lumpur: “Tempat tinggal ini umpama neraka dunia. Tidak ada apa yang boleh dilakukan melainkan hanya berserah kepada takdir.
“Saya dan yang lain terpaksa bergantung ihsan kepada penduduk tempatan, tidak punya kerja, anak-anak tidak dapat pendidikan sempurna, makanan terbatas, khidmat kesihatan yang sangat terhad,” kata Siraj, 32, ketua kampung di kem Kutupalong, Bangladesh.
Katanya, kehidupan pelarian Rohingya di Bangladesh sangat menyayat hati kerana bekalan air bersih diperoleh melalui telaga tiub, namun itu tidak mencukupi kerana hanya ada sekitar 100 telaga tiub yang digali sedalam 80 hingga 110 meter sedangkan kem itu dihuni 65,000 orang.
Menurutnya, kehidupan mereka semua di dalam rumah yang layak dipanggil bangsal di Malaysia begitu daif kerana di situlah ruang memasak, tidur dan bersantai dengan lantai tanah dan berdinding buluh.
“Ketika ini kem ini mempunyai 45 sekolah dan 10 madrasah. Tetapi keadaan sekolah sangat daif. Bilangan pelajar seramai 10,000 orang di kem ini masih kecil berbanding puluhan ribu lagi yang tidak ada akses pendidikan.
“Kami hanya dapat makan seadanya untuk meneruskan hidup. Keadaan di dalam kem begitu susah, ramai yang bersabung nyawa merentasi Sungai Naf di Coxbazar, Bangladesh ke Rakhine di Myanmar. Ramai yang lemas kerana gagal sampai ke seberang. Ia sangat menyedihkan,” katanya ketika menerima kunjungan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Imam Rafique berkata, apa yang termampu dilakukan kini ialah mengajar kanak-kanak belajar asas agama kerana mereka tidak mampu menyediakan peluang pendidikan seperti tempat lain.
“Sebenarnya ramai kanak-kanak Rohingya yang pintar. Mungkin kerana kemahuan yang tinggi untuk membantu keluarga menyebabkan mereka berusaha keras untuk berjaya dalam pelajaran. Tapi peluang kami amat terhad,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata, kunjungan sukarelawan MAPIM bertujuan melihat sendiri keadaan kem itu dan beberapa telaga tiub yang disumbangkan pihaknya beberapa tahun lalu.
“MAPIM juga mengadakan perbincangan dengan beberapa mudir madrasah bagi mengetahui lebih dekat operasi di kem itu dan keperluan mereka. Mungkin dengan maklumat ini kita boleh maklum di Malaysia kepada penderma yang prihatin,” katanya.
Sumbangan tabung Rohingya boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.rohingyafund.com atau terus ke Akaun Rohingya Humanitarian Fund–ArRajhi Bank 154001880630441.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:32 AM


MOHD Azmi (kanan) ketika meninjau keadaan penghuni Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71707#sthash.CfQOVnG9.dpuf

No comments:

Post a Comment