Thursday 13 August 2015

Bangladesh akan adakan bancian pelarian Rohingya


13 Ogos 2015 1:09 AM



DHAKA 12 Ogos – Bangladesh dilapor akan mengadakan satu bancian ke atas ratusan ribu masyarakat Rohingya yang telah menyeberangi ke negara ini dari negeri Rakhine di barat Maynmar bagi memohon perlindungan daripada penindasan kerajaan Myanmar.
Portal berita arabnews.com melaporkan, Setiausaha Luar Bangladesh, Shahidul Haque berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak AS$2.7 juta untuk menjalankan bancian itu di tenggara Bangladesh, berdekatan sempadan negeri Rakhine.
Anggaran rasmi meletakkan jumlah pelarian Rohingya yang tidak berdaftar di Bangladesh ialah antara 200,000 dan 500,000 orang, selain 32,000 pelarian berdaftar yang ditempatkan di dua buah kem pelarian yang diuruskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Bancian itu akan dimulakan pada bila-bila masa dalam enam bulan kedua tahun ini,” kata Haque kepada AFP, kelmarin selepas taklimat ringkas mengenai langkah berkenaan.
Masyarakat etnik Islam Rohingya mula menyeberangi sempadan ke Bangladesh seawal 1990-an dari Myanmar ekoran keganasan kaum dan agama di negara itu.
Mereka mendakwa berhadapan diskriminasi dan penganiayaan oleh kerajaan Myanmar yang tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat negara itu.
Penderitaan mereka mula mendapat perhatian dunia pada tahun ini apabila ribuan pelarian tersebut menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan orang hanyut menuju ke Malaysia dan terpaksa diselamatkan di lautan berhampiran perairan Myanmar dan Asia Tenggara.
Pertubuhan Antarabangsa me­ngenai Pendatang (IOM) yang membantu Bangladesh menjalankan bancian itu berkata, ia merupakan satu langkah positif untuk orang pendatang tanpa negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bangladesh-akan-adakan-bancian-pelarian-rohingya-1.123633#sthash.EnA9adkx.dpuf

No comments:

Post a Comment