Pengerusi majlis itu, Khairul Amin berkata, situasi ekonomi ter­se­but menyamai keadaan sebelum Pe­rang Dunia Kedua di Jerman apa­bila Parti Nazi bertindak menghukum sesiapa sahaja yang tidak menuruti idea kaum Aryan sebagai usaha bersepadu menangani kemelut kewangan akibat Perang Dunia Pertama.
Menurut Khairul, situasi di Myan­mar tidak jauh berbeza apabila kerajaan Yangon mensasarkan hanya satu kumpulan iaitu orang Islam.
“Jika kita menyelidik punca ma­salah di Rakhine, adakah ia berlaku akibat ekonomi atau kebencian yang wujud dalam kalangan penduduk beragama Buddha terhadap etnik Rohingya?.
“Tidak. Konflik tersebut berpunca daripada kerajaan Myanmar yang memanipulasi penduduk Rakhine (termasuk penganut Buddha) untuk membenci, memecah-belah dan menindas etnik Rohingya yang beragama Islam,” kata beliau semasa diwawancara oleh Agensi Anadolu.
Khairul menjelaskan, semasa era pemerintahan pemimpin Nazi, Adolf Hilter, golongan Yahudi, homoseksual dan gipsi diklasifikasikan sebagai golongan “Lain” dan menjadi sasaran penghapusan etnik secara terancang.
Tambah beliau, kerajaan Myan­mar juga menetapkan agenda ter­sendiri dengan menggunakan kaedah sama apabila rusuhan agama tercetus di Rakhine pada 2012 dengan menyaksikan beratus-ratus orang terbunuh dan berpuluh-puluh ribu menjadi pelarian selain beribu rumah dibakar, kebanyakannya milik penduduk etnik Rohingya.
“Kerajaan Myanmar secara khususnya menggalakkan kebencian antara dua etnik utama di negeri tersebut susulan kebimbangan kehilangan sumber asli dan mineral ke tangan etnik Rohingya.
“Kerajaan Myanmar tidak mahu sama ada penduduk asal Rakhine dan etnik Rohingya bersekutu kerana jika kerajaan kehilangan kuasa, mereka akan hilang perkongsian sumber asli di negeri tersebut,” ujar beliau.
Selain itu, Khairul mendakwa, Yangon melaksanakan program penyebaran mesej berbaur kebencian yang berbunyi, “Jika anda tidak bertindak terhadap Rohingya, mereka akan mengambil-alih. Pengaruh Islam telah datang dan anda perlu melindungi fahaman Buddha. Jika tidak, penduduk Islam akan menguasai negara ini sama seperti Malaysia dan Indonesia”.
Beliau menambah, program ter­sebut telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun selepas kerajaan junta menguasai pentadbiran negara.
“Myanmar tidak akan membiarkan penduduk Rakhine mentadbir negeri itu dan begitu juga nasib etnik Rohingya.
“Mereka sentiasa berusaha memecah-belah perpaduan penduduk Rakhine dan Rohingya dengan menyebarkan mesej berbaur perkauman dan memainkan sentimen agama,” katanya.