Resolusi itu diluluskan pada perhimpunan yang dihadiri sebanyak 193 negara, sebulan selepas langkah tersebut diluluskan oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB.
Resolusi berkenaan menggambarkan kebimbangan serius terhadap keadaan getir yang dihadapi penduduk Rohingya di negeri Rakhine di mana seramai 140,000 orang tinggal dalam kem pelarian yang kotor selepas tercetus keganasan antara penduduk Buddha dan Islam Rohingya pada 2012.
PBB menggesa kerajaan Myanmar melindungi hak asasi semua penduduk Rakhine dan membenarkan akses untuk mendapatkan kerakyatan sama rata kepada penduduk Rohingya.
Resolusi berkenaan turut menyambut baik pembangunan positif di Myanmar berkaitan pelaksanaan reformasi politikdi negara itu serta usaha kerajaan Myanmar menangani situasi di Rakhine.
Sebelum ini, satu pelan yang dikeluarkan kerajaan Myanmar memaksa penduduk Rohingya mendaftar sebagai etnik Benggali sebagai syarat untuk mendapatkan taraf kerakyatan, dan sekiranya mereka enggan, penduduk Rohingya dipaksa tinggal di kem tahanan.
Ramai dalam kalangan kakitangan kerajaan Myanmar dan penduduk Buddha menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari negara jiran, Bangladesh, tetapi komuniti tersebut mempertahankan bahawa nenek moyang mereka berasal dari Myanmar. – AFP