Menurut pendedahan Unit Penyiasatan Al Jazeera yang memetik laporan pertubuhan hak asasi manusia, Lowenstein Clinic, siasatan selama lapan bulan di Myanmar menunjukkan bukti kukuh bahawa rusuhan yang berlaku di Rakhine dirancang oleh Yangon.
Laporan bertajuk Genocide Agenda itu mendedahkan, kerajaan mencetuskan kekecohan antara etnik Rohingya dan penduduk beragama Buddha bagi meraih kepentingan politik dengan menyebarkan mesej berbaur kebencian bagi menakutkan rakyat tentang bahaya kehadiran penduduk beragama Islam.
Selain itu, kerajaan dipercayai menawarkan wang kepada kumpulan pelampau Buddha yang menyokong pucuk pimpinan kerajaan bagi menyemarakkan lagi kebencian terhadap etnik Rohingya.
Pengarah Inisiatif Jenayah Negara Antarabangsa (ISCI), Profesor Penny Green mendakwa, Presiden Myanmar, Thein Sein turut menggunakan mesej berbaur kebencian untuk kepentingan kerajaan dengan langkah meminggir, mengasing dan mengurangkan populasi penduduk Islam di negara itu.
“Keganasan yang berlaku tidak melibatkan isu agama, tetapi telah dirancang dengan mencetuskan kemarahan penduduk Buddha di Rakhine untuk membunuh penduduk Rohingya.
“Segala perancangan dibiayai oleh pihak tertentu yang merancang mencetuskan rusuhan dengan teliti,” katanya.