Menurut penyelidik pelarian pertubuhan itu, Anna Shea, dalam tempoh enam bulan pada awal tahun ini, lebih 31,000 orang hanyut dilapor menaiki bot penyeludup manusia, jumlah yang besar berbanding tahun sebelum ini.
Katanya, peningkatan trend itu dijangka berterusan sekali gus memerlukan tindakan segera kerajaan bagi mengelak isu orang hanyut berulang yang menyaksikan pendatang asing dari Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar di­seksa, dipukul, dan ditahan untuk wang tebusan termasuk dibunuh.
“Pendatang yang kami temui mendakwa ‘bernasib baik’ dapat sampai ke daratan, kerana ramai yang mati di laut atau diseludup untuk menjadi buruh paksa.
“Kerajaan mesti bertindak pantas bagi menghalang tragedi itu daripada berulang,’’ kata Shea dalam satu kenyataan sebagaimana lapor portal Myanmar Times.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini melaporkan, sebanyak 370 kematian orang hanyut dicatat di laut dari Januari hingga Jun lalu, namun Amnesty International menganggarkan jumlah mangsa sebenarnya lebih ramai berdasarkan temu ramah dengan mereka yang selamat tiba di Indonesia, yang turut dipaparkan dalam dokumentari, Deadly Journeys.
Oleh itu, pertubuhan tersebut menasihatkan Malaysia, Thailand, dan Indonesia supaya membuat persediaan dengan mewujudkan pasukan mencari dan menyelamat.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berkenaan turut menggesa Myanmar supaya menangani isu-isu yang membuatkan etnik Ro­hingya melarikan diri termasuk ketegangan kaum dan layanan berat sebelah terhadap masyarakat minoriti tersebut.
Kumpulan pemantau itu pada masa sama mengulangi gesaan supaya kerajaan memberikan etnik Rohingya status kerakyatan termasuk memansuhkan undang-undang kontroversi berkaitan kaum dan agama