Saturday 25 January 2014

PBB arah Myanmar jalan siasatan


NAVI PILLAY
GENEVA 24 Jan. - Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay menggesa Myanmar menjalankan siasatan berhubung insiden terbaru kematian lebih 40 orang penduduk Islam Rohingya di negeri Rakhine, baru-baru ini.
Pillay dalam satu kenyataan, hari ini berkata, PBB turut menerima 'laporan luar biasa' lapan orang lelaki etnik Rohingya diserang dan dibunuh di sebuah perkampungan berhampiran sempadan Bangladesh, oleh penduduk tempatan yang beragama Buddha pada 9 Januari lalu.
''Saya kesal atas kejadian yang berlaku di perkampungan Du Chee Yar Ta, dan saya sudah menghubungi pihak berkuasa (Myanmar) supaya menjalankan satu siasatan terperinci, cepat dan tidak berat sebelah, bagi memastikan keluarga mangsa mendapat keadilan,'' katanya.
Empat hari selepas insiden itu, seorang anggota polis berpangkat sarjan ditangkap dan dibunuh oleh penduduk Islam Rohingya di sana, tambahnya.
Menurutnya, kejadian tersebut mendorong polis dan penduduk tempatan di Rakhine bertindak membunuh sekurang-kurangnya 40 etnik Islam Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak.
PBB kemudiannya menyerahkan maklumat tersebut kepada kerajaan Myanmar.
''Kerajaan perlu memberi tindak balas yang cepat dan tegas. Kes ini akan memberi peluang kepada kerajaan untuk menunjukkan ketelusan dan tanggungjawab mereka, selain dapat mengukuhkan demokrasi dan undang-undang di Myanmar,'' jelas Pillay.
Negeri Rakhine di barat Myanmar, sering menjadi kawasan pertumpahan darah antara komuniti Buddha dan Islam sejak 2012, sehingga menyebabkan beratus-ratus orang terkorban dan lebih 140,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan kebanyakkan daripada mereka merupakan penduduk Islam Rohingya.
Sehingga kini, maklumat berkenaan pergolakan di rantau tersebut masih tidak diketahui, namun aktivis berkata, selepas berlakunya serangan pada 13 Januari lalu, sekurang-kurangnya dua orang wanita dan seorang kanak-kanak mati akibat ditikam, manakala berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan serius.
Pihak berkuasa Myanmar, bagaimnapun menafikan berlaku kematian melibatkan orang awam, tetapi mengesahkan berlakunya pertempuran. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140125/lu_02/PBB-arah-Myanmar-jalan-siasatan#ixzz2rMCTJDWl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment