Wednesday 15 January 2014

Tentera Myanmar rogol wanita, kanak-kanak


WASHINGTON 14 Jan. - Sebuah pertubuhan wanita Myanmar mendakwa, tentera negara itu merogol 100 wanita, remaja dan kanak-kanak perempuan sejak 2010 dengan ada antara mangsa berusia seawal lapan tahun.
Menurut Liga Wanita Myanmar dalam laporannya yang dipetik Reuters, sebanyak 47 kes yang direkod merupakan rogol secara berkumpulan dan 28 lagi wanita dilaporkan meninggal dunia sama ada dibunuh atau akibat kecederaan yang dialami mereka.
Laporan sama menyebut, seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun muncul mangsa rogol termuda dan sebanyak 38 batalion tentera dipercayai terlibat dalam pencabulan tersebut yang berlaku di sekurang-kurangnya 35 buah kawasan di negara berkenaan.
"Jenayah seksual digunakan tentera Myanmar sebagai alat untuk melemahkan dan memusnahkan masyarakat etnik di negara itu. Ini merupakan satu bentuk penindasan yang masih berlaku,'' dakwa kumpulan itu.
Jelas Liga Wanita Myanmar, pihaknya percaya kejadian yang direkodkan itu hanya sebahagian daripada kes rogol berleluasa yang dilakukan anggota tentera.
Kumpulan itu dalam laporannya turut menyebut kejadian rogol membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun pada 14 April lalu di bandar Hsipaw, negeri Shan, utara Myanmar.
Dalam satu kes lain, beberapa anggota tentera dilapor merogol tiga wanita di bandar Ke See di negeri sama pada 5 Julai 2011 dengan seorang daripada mangsa kini mengandung sembilan bulan.
Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun turut dirogol di hadapan ibunya di negeri Shan.
Menurut kumpulan itu, situasi tersebut menunjukkan keperluan kepada pembaharuan undang-undang di Myanmar.
Bagaimanapun, tiada seorang wakil dari Pejabat Presiden atau Kementerian Pertahanan Myanmar tampil untuk mengulas mengenai dakwaan kumpulan berkenaan.
Sebelum ini, pihak tentera menolak tuduhan 'liar' seumpama itu yang ditujukan kepada pasukan keselamatan tersebut. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140115/lu_06/Tentera-Myanmar-rogol-wanita-kanak-kanak#ixzz2qSkQauZK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment