Saturday 18 January 2014

Wanita, kanak-kanak Rohingya Islam maut akibat amukan di Rakhine


Gambar fail bertarikh 21 Mac tahun lalu, menunjukkan beberapa bangunan dijilat api akibat rusuhan agama yang berlaku di Meikthila, tengah Myanmar. - AFP
YANGON 17 Jan. - Sekumpulan penganut Buddha bersenjatakan pisau yang mengamuk, dilaporkan membunuh berpuluh-puluh etnik Rohingnya Islam termasuk wanita dan kanak-kanak dalam satu kejadian terbaharu di negeri Rakhine, Myanmar, pagi Selasa lalu.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan menafikan terdapat kematian dalam kejadian itu, namun mengakui situasi di Rakhine ketika ini tegang.
Pengarah Projek Arakan, Chris Lewa, kumpulan penyokong yang menghasilkan artikel penganiayaan terhadap penduduk Rohingya berkata, maklumat lengkap tentang keganasan yang berlaku di utara negeri Rakhine itu, masih dalam proses pengumpulan, selepas berlakunya banyak percanggahan laporan.
"Angka korban keseluruhan mungkin di antara 10 ke 60 orang,'' jelas Lewa, hasil maklumat yang disalurkan oleh pentadbir kampung dan saksi.
Menurut seorang saksi yang enggan namanya didedahkan, keganasan berlaku selepas penemuan tiga mayat di dalam longkang berhampiran perkampungan Du Char Yar Ta oleh beberapa orang pencari kayu.
Mangsa dipercayai merupakan sebahagian daripada lapan orang etnik Rohingya Islam yang ditahan pihak berkuasa sehari sebelum itu.
Penduduk kampung kemudiannya mengambil gambar mangsa berkenaan dan menyebarkannya kepada rakan-rakan terdekat.
Pada malam itu, lima orang anggota polis datang ke kampung berkenaan untuk merampas telefon dan memeriksa senarai keluarga etnik Rohingya Islam, namun penduduk bertindak mengejar mereka.
Perkara tersebut mengakibatkan askar dan polis mengepung perkampungan tersebut, selain bertindak memecahkan pintu, merampas barangan keperluan harian dan beberapa barangan berharga.
Hampir semua lelaki kemudian ditahan, meninggalkan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
"Saya mahu tegaskan di sini bahawa pembunuhan itu dilakukan oleh penganut agama Buddha di perkampungan Rakhine dan bukannya polis atau pun tentera,'' menurut Projek Arakan dalam satu kenyataan semalam.
Myanmar yang mempunyai penduduk berjumlah 60 juta orang dengan majoriti mereka merupakan penganut agama Buddha, kini sedang bergelut dengan keganasan agama sejak dua tahun lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140118/lu_03/Wanita-kanak-kanak-Rohingya-Islam-maut-akibat-amukan-di-Rakhine#ixzz2qh9uCy73
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment