Saturday 18 January 2014

Penduduk Islam maut ditikam


Yangon: Sekumpulan penduduk menganut agama Buddha mengamuk di sebuah bandar terpencil di Myanmar menyerang wanita dan kanak-kanak Islam dengan pisau hingga mati.

Kumpulan hak asasi kemanusiaan berkata puluhan orang dipercayai maut akibat kejadian berkenaan.


Chris Lewa daripada Projek Arakan, kumpulan sokongan yang mendokumenkan penderaan terhadap penduduk minoriti umat Islam Rohingya lebih sedekad lalu berkata, keganasan berlaku Selasa lalu di Rakhine, negeri di utara Myanmar.

Menurut Lewa yang memperoleh maklumat daripada penduduk, 17 wanita dan lima kanak-kanak terbunuh dalam kejadian berkenaan.


Beberapa penduduk yang mencari kayu api berkata, mereka menemui tiga mayat yang dibuang dekat kampung Char Yar Tan.


Mereka mengambil gambar mayat mangsa dengan telefon bimbit untuk dijadikan bukti.

Pada malamnya, lima anggota polis pergi ke kampung itu untuk merampas telefon bimbit penduduk.

Kehadiran anggota polis itu tidak disenangi penduduk yang kemudian mengusir mereka. Anggota polis itu muncul semula jam pada 2 pagi dan mendakwa seorang anggota mereka hilang.

Keesokan harinya, tentera dan polis mengepung kampung berkenaan, memecahkan pintu kediaman penduduk, selain turut merampas barangan berharga dan ternakan mereka.

Hampir kesemua penduduk lelaki melarikan diri meninggalkan wanita dan kanak-kanak serta warga emas.

Lewa berkata, satu sumber memberitahu wanita dan kanak-kanak Rohingya itu kemudian diserang.

Namun, laporan mengenai jumlah kematian berbeza-beza dengan sesetengah menyatakan lima atau 10 orang.

Satu sumber berkata, dipercayai kira-kira 40 orang maut kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Kebanyakan mangsa mempunyai kesan tikaman bukan dibelasah atau ditembak.

Ia menunjukkan insiden pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan penduduk Buddha di Rakhine dan bukannya tentera atau polis, kata Lewa. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

No comments:

Post a Comment