Saturday 25 January 2014

48 Muslim disah dibunuh


Yangon: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengesahkan sekurang-kurangnya 48 orang Islam maut ketika serangan puak beragama Buddha di sebuah perkampungan di barat Myanmar baru-baru ini.

Kerajaan negara itu menafikan kejadian berkenaan apabila ia pertama kali dilaporkan minggu lalu.


PBB dalam satu kenyataan kelmarin mengesahkan menerima laporan yang boleh dipercayai mengatakan sekurang-kurangnya 48 maut dalam dua serangan berasingan.



Laporan itu diperoleh hasil temuramah dengan saksi, mangsa dan pegawai tempatan.


Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Navi Pillay menyeru kerajaan Myanmar menjalankan siasatan penuh dan berkecuali terhadap kejadian itu bagi memastikan mangsa dan keluarga mereka menerima keadilan sewajarnya. “Saya mengecam keganasan di perkampungan Du Chee Yar Tan berkenaan.


“Kerajaan perlu membuat siasatan sewajarnya yang pasti membuktikan ketelusannya selain memperkukuhkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang Myanmar,” katanya. Desas-desus awal mengenai kejadian itu berlaku ketika Myanmar menjadi tuan rumah bagi pertemuan menteri luar ASEAN.

Sehubungan itu, jurucakap Presiden Ye Htut menyatakan bantahan terhadap tuduhan PBB itu malah menegaskan fakta dinyatakan salah berikutan keadaan di Du Chee Yar Tan tenang.


Akhbar tempatan juga menyiarkan laporan setiap hari menafikan kejadian, malah laman web Kementerian Penerangan kelmarin mendakwa Ketua Menteri Rakhine Hla Maung Tin melawat perkampungan itu dan melihatnya dalam keadaan aman.

Kejadian di Du Chee Yar Tan, perkampungan di utara wilayah Rakhine, dianggap yang paling teruk setakat ini malah menjadikan jumlah kematian orang Islam di Myanmar direkodkan lebih daripada 280 orang manakala 250,000 lari meninggalkan kediaman mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

No comments:

Post a Comment