Monday 27 January 2014

Myanmar berdolak-dalik isu Rohingya


Gambar fail tidak bertarikh, menunjukkan sekumpulan penduduk Rohingya Islam, tiba di perairan Bangladesh selepas melarikan diri dari konflik agama di Rakhine, barat Myanmar. - Agensi
YANGON 26 Jan. - Myanmar dilihat cuba mengalih perhatian masyarakat antarabangsa yang mahu siasatan tentang pembunuhan 40 etnik Rohingnya dilakukan, sebaliknya mendakwa seorang pegawai polisnya maut dibunuh sebuah kumpulan militan yang menyusup masuk ke Rakhine.
Kementerian Luar Myanmar dalam kenyataan di laman webnya kelmarin menyatakan, sebahagian penyerang dalam serangan ke atas pegawai polis pada 13 Januari lalu itu, pernah menjalani latihan bersenjata dengan Pertubuhan Solidariti Rohingya (RSO).
Menurut kenyataan tersebut, kerajaan Myanmar percaya, kumpulan militan itu adalah dalang di sebalik kejadian berkenaan yang berlaku di perkampungan Du Chee Yar Tan.
Kementerian Luar Myanmar dalam kenyataannya turut memberi amaran supaya negara-negara luar 'tidak membuat kesimpulan melulu berdasarkan maklumat-maklumat yang tidak sah'.
"Penyerang-penyerang itu pernah mengambil bahagian dalam kursus latihan senjata dikendalikan RSO,'' kata kenyataan itu merujuk kepada kumpulan tersebut yang pernah digelar pertubuhan militan utama di kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh.
Kenyataan baharu kerajaan Myanmar itu bagaimanapun dilihat hanya sebagai cubaan mengalihkan berhubung desakan antarabangsa yang mahu siasatan dilakukan berhubung insiden kematian beramai-ramai lebih 40 orang penduduk Rohingya Islam di sebuah perkampungan berhampiran sempadan Bangladesh, di negeri Rakhine pada awal bulan ini.
Ini berikutan, kerajaan tidak menyediakan bukti terhadap kewujudan militan bersenjata di kawasan itu, malah dakwaan kontroversi kerajaan bahawa kumpulan militan telah memasuki Myanmar, turut mengundang keraguan.
Seorang ahli politik Rohingya, Myo Thant, yang beribu pejabat di Yangon dalam wawancara bersama Los Angeles Times berkata, tuduhan kerajaan Myanmar itu adalah sama sekali 'tidak berasas'.
Jelasnya, tuduhan itu merupakan cubaan untuk memburuk-burukkan masyarakat Rohingya dan mengalihkan gesaan daripada Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara lain supaya satu siasatan dijalankan berikutan pembunuhan beramai-ramai tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140127/lu_04/Myanmar-berdolak-dalik-isu-Rohingya#ixzz2rXnQA4x4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment