Friday 22 November 2013

Madrasah daif untuk Rohingya

Ditolak sekolah, anak Rohingya terpaksa belajar di madrasah
Sittwe: Setahun selepas perusuh Buddha mengusir hampir semua penduduk minoriti Islam Rohingya dari bandar di barat laut Myanmar, beribu-ribu kanak-kanak Muslim kini hidup terasing di khemah pemindahan dengan masa depan kabur.

Disebabkan mereka tidak diterima di kebanyakan sekolah kerajaan, Madrasah Kampung Rohingya di pinggir Sittwe dibuka bagi membolehkan kanak-kanak Rohingya bersekolah. Madrasah itu bukan saja mengajar pengajian Islam, malah memberi penekanan kepada bahasa Burma dan bahasa Inggeris.


Pada hari-hari tertentu, lebih 1,000 murid hadir, manakala ibu bapa mereka duduk di kedai kopi berhampiran.



Di dalam bangunan usang, kanak-kanak terbabit saling duduk berhimpit dan bersesak di atas lantai kayu yang kian reput. Seorang guru mengawal bilik darjah dengan rotan buluh cuba mententeramkan suasana bising dalam kelas. Madrasah itu tidak mendapat mana-mana sokongan. Kakitangannya tidak dibayar gaji dan berikutan kekurangan buku teks, mereka berhempas pulas menghabiskan pelajaran asas.


Seorang daripada guru di situ, Anowar mengendalikan lebih 65 murid secara bersendirian dalam satu masa. “Kami lakukan apa yang mampu, namun memang mustahil memberikan yang terbaik terutama kepada kanak-kanak yang lebih berusia.


“Bagaimanapun, ada sedikit perkembangan dengan sesetengah kanak-kanak dapat menyebut nama mereka atau menghitung dalam bahasa Burma,” katanya.

Sittwe ialah ibu negeri Rakhine yang dilanda konflik antara agama tahun lalu dan turut tersebar ke bahagian lain di negara itu. Penduduk Rohingya menjadi sasaran utama serangan yang menyebabkan 240 maut dan mengakibatkan 240,000 lagi pindahagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka. - AP

No comments:

Post a Comment