Thursday 14 November 2013

Kunjungan OIC ke Rakhine dibantah


Sebahagian daripada sami Buddha, memegang sepanduk membantah kunjungan delegasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar bagi melihat sendiri nasib etnik Rohingya Islam akibat rusuhan agama di Yangon, semalam. - AP
YANGON 13 Nov. - Berpuluh-puluh sami Buddha mengadakan tunjuk perasan di luar lapangan terbang bagi membantah kehadiran delegasi daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang tiba di sini, hari ini bagi memantau keadaan berhubung rusuhan agama.
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dan beberapa pegawai lain yang mewakili pertubuhan 57 negara Islam itu, akan bertemu dengan pegawai tertinggi kerajaan Myanmar di Naypyitaw untuk membincangkan isu keganasan etnik yang melanda negara ini.
Lebih 240 orang terbunuh dan 240,000 lagi menjadi pelarian dalam rusuhan agama pada tahun lalu, dengan kebanyakan mangsa terbunuh merupakan etnik Rohingya Islam yang diburu oleh penduduk Buddha dan tidak dihalang oleh pihak keselamatan Myanmar.
Delegasi OIC terbabit yang diwakili pegawai dari Indonesia, Malaysia, Turki, Arab Saudi, Mesir, Djibouti dan Bangladesh, dijangka menerima bantahan besar-besaran pada Jumaat ini apabila berkunjung ke negeri Rakhine bagi melihat sendiri keadaan mangsa dan kem pelarian.
Pegawai Indonesia, Ark Hananto berkata, kerajaan Myanmar memberi jaminan akan mengenakan kawalan yang ketat terhadap kumpulan khas OIC sepanjang kunjungan di negara ini.
Ark berkata, selain mengutuk dan menyuarakan kebimbangan tentang nasib umat Islam di Myanmar, OIC juga akan bertemu secara langsung dengan mangsa konflik terbabit.
Jelasnya, pegawai delegasi akan mengadakan perbincangan dengan masyarakat dan pemimpin-pemimpin agama di kawasan itu.
"Tujuan OIC ke sini adalah untuk mencari jalan membina komunikasi antara kedua-dua pihak terlibat," katanya. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131114/lu_06/Kunjungan-OIC-ke-Rakhine-dibantah#ixzz2kb8bqoUU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment