Thursday 21 November 2013

OIC sukar selesaikan isu Rohingya


PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai oleh 57 negara Islam adalah sinonim sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang tidak berupaya menyelesaikan masalah kerana ahlinya sukar mencapai persetujuan dalam setiap hal. Dalam mencari penyelesaian kemelut Palestin hinggalah kepada masalah terkini iaitu Syria, OIC dikatakan gagal kerana terlalu banyak kelompok dalam organisasi itu yang memperjuangkan agenda masing-masing.
Dari segi keanggotaannya, OIC dianggap organisasi kedua paling hebat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai 193 negara ahli. Memang benar negara ahli OIC tidak mempunyai kekuatan ketenteraan tetapi ahli dari Negara Teluk terutama sekali, mempunyai kekuatan tersendiri dalam bentuk senjata minyak dan gas.
Tetapi apabila berhadapan dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk etnik Rohingya di Myanmar, OIC dikatakan telah mencapai kata sepakat untuk membantu penduduk minoriti beragama Islam tersebut yang pada ketika ini menghadapi penindasan dan diskriminasi daripada kerajaan mereka sendiri.
Mesyuarat Suruhanjaya Hak Asasi Tetap Bebas OIC (IPHRC) yang telah diadakan di Jeddah pada 31 Oktober lepas telah mengambil keputusan untuk menghantar satu pasukan khas bagi menyiasat situasi hak asasi manusia di Myanmar dan juga Palestin.
Beberapa hari lepas delegasi OIC yang terdiri daripada wakil dari negara Malaysia, Indonesia, Turki, Arab Saudi, Mesir, Djibouti dan Bangladesh dan diketuai oleh Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu telah melakukan tinjauan selama empat hari ke Myanmar.
Walaupun lawatan delegasi OIC telah mendapat jemputan khas dari Presiden Myanmar sendiri iaitu Thein Sein, tetapi seperti yang dijangkakan lawatan tersebut disambut dengan bantahan sebaik-baik sahaja delegasi tersebut tiba di Lapangan Terbang Sittwe, iaitu kawasan di mana layanan terburuk diterima oleh kumpulan etnik Rohingya.
Bantahan dan tunjuk perasaan yang mengiringi delegasi OIC ini bagaikan berlaku secara sistematik dan tidak keterlaluan diandaikan ia mendapat sokongan tersirat daripada kerajaan mereka sendiri terutama sekali organisasi polis dan tentera.
Situasi sebegini bukannya sesuatu yang asing kerana selama ini keganasan yang melanda etnik Rohingya sejak kebelakangan ini sememangnya didalangi oleh kelompok sami Buddha tetapi sedikit sebanyak didakwa digalak oleh beberapa kumpulan dalam kerajaan Thein Sein sendiri.
Niat OIC untuk membantu etnik Rohingya telah diputar belit oleh pihak tertentu di Myanmar kerana kepentingan politik masing-masing. Seperti mana ketua pembangkang Aung San Suu Kyi sering dituduh berdiam diri kerana kepentingan politik, serupa juga dengan beberapa elemen dalam kerajaan Thein Sein mempunyai niat yang sama kerana pengundi daripada penganut Buddha merupakan penyokong kuat kedua-dua parti tersebut.
Jika diteliti bentuk bantahan dengan sepanduk seperti ‘Berambus OIC’, ‘Jangan masuk campur urusan dalaman kami’ dan ‘Anda berada di sini bukan atas dasar hak asasi kemanusiaan tetapi untuk menyebarkan Islam’ begitu jelas sekali sentimen agama telah dipergunakan untuk menakutkan rakyat Myanmar.
Salah satu cadangan yang dikemukakan oleh delegasi OIC adalah untuk membuka saluran komunikasi secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi menjalinkan kerjasama dan seterusnya mampu menyumbang kepada program sosio-ekonomi kumpulan etnik Rohingya.
Kaedah paling efisien untuk mencapai hasrat tersebut adalah dengan membuka pejabat OIC di Sittwe, Rakhine supaya usaha asas untuk membina saluran komunikasi dapat dilaksanakan dengan segera. Tetapi seperti yang dijangkakan usaha seperti ini sudah pasti akan mendapat bantahan daripada rakyat Myanmar seperti yang berlaku tahun lepas.
Pada bulan Oktober 2012 beberapa wakil OIC melakukan lawatan ke daerah bergolak dan mencadangkan perkara yang sama dan hasrat tersebut telah diterima baik oleh Presiden Thein Sein kerana beliau berpendapat usaha tersebut tidak dianggap sebagai campur tangan pihak luar terhadap masalah dalaman Myanmar.
Tetapi beberapa hari selepas itu Thein Sein menarik balik persetujuan asal dan menegah OIC daripada membuka pejabat dengan menggunakan alasan rancangan tersebut tidak selaras dengan kehendak rakyat Myanmar. Perubahan mendadak ini berlaku setelah kerajaan Thein Sein menerima bantahan yang didalangi oleh sami Buddha yang berpengaruh.
Nasib etnik Rohingya dikatakan berada dalam keadaan genting kerana telah berlaku secara sistematik apa yang digelar sebagai penghapusan kumpulan tersebut secara halus. Sebelum ini kumpulan tersebut masih boleh menjalani hidup di wilayah Rakhine di beberapa kelompok perkampungan Islam tetapi kini bagaikan telah wujud dasar kerajaan untuk mengurung kumpulan ini dalam kem pelarian seperti yang terdapat di Buthidaung dan Maungdaw.
Langkah drastik perlu dilaksanakan oleh OIC kerana jika terlewat, besar kemungkinan bukan sahaja etnik Rohingya malah rakyat Myanmar beragama Islam akan pupus di negara itu sendiri. Mengambil pengajaran kegagalan OIC menyelesaikan masalah Mindanao, maka organisasi ini sebenarnya bukan satu entiti yang sesuai dalam mencari penyelesaian Rohingya.
OIC didapati agak sukar untuk diterima oleh rakyat Myanmar sebagai pengantara yang bebas kerana isu agama telah dipergunakan dalam senario politik tempatan. Dua negara ASEAN dikatakan mempunyai kekuatan dalam mencari jalan penyelesaian, iaitu Thailand dan Malaysia. Bangkok dikatakan agak keberatan untuk menjadi pemain utama kerana masalah Rohingya terlalu bercampur aduk dengan politik dalaman Thailand.
Kuala Lumpur dikatakan pilihan terbaik kerana kebarangkalian untuk diterima oleh rakyat Myanmar sebagai pengantara yang adil dan saksama adalah begitu tinggi sekali. Malaysia bukan sahaja boleh bersandarkan kepada pengalaman merungkai isu Bangsamoro Filipina, tetapi juga mempunyai rekod yang utuh dalam menghadapi ratusan ribu pendatang asing tanpa izin yang mencari rezeki di Malaysia.
PENULIS ialah Geostrategis Institut
Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131121/re_03/OIC-sukar-selesaikan-isu-Rohingya#ixzz2oOEBk5oJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment