Thursday 21 November 2013

Perancang bom masjid ditahan

Yangon: Polis Myanmar semalam berkata, mereka menahan tiga orang yang disyaki merancang mengebom sebuah masjid ketika negara itu bergelut dengan ketegangan agama selepas beberapa siri serangan anti-Islam tercetus.
Suspek terdiri daripada lelaki Buddha dari negeri Rakhine, tempat dua insiden rusuhan berlaku tahun lalu menyebabkan puluhan maut dan 140,000 lagi - kebanyakannya Muslim Rohingya menjadi pelarian.

Jurucakap polis Yangon berkata, suspek merancang menanam bom di masjid selepas menghadiri latihan di negeri Karen, di sempadan negara itu.
“Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan terhadap kes itu,” katanya Myanmar dilanda ketegangan selepas konflik antara agama tercetus yang menyebabkan kira-kira 250 orang terbunuh, selain turut menggelapkan proses pembaharuan politik yang berlaku di negara itu. Satu laporan dalam akhbar kerajaan New Light of Myanmar semalam berkata, serbuan awal di sebuah rumah tamu di kawasan Yangon menemui suspek berusia 34 tahun sedang membuat bom pada 13 November lalu.

Siasatan lanjut mendorong polis menahan dua lagi suspek berusia 31 dan 28 tahun Sabtu lalu.

Akhbar itu melaporkan seorang daripada lelaki terbabit menerima latihan membuat bom di sempadan dan menyasarkan ‘rumah ibadah’ sebagai tumpuan serangan. - AFP
Foto
PENGUNJUNG melihat tayangan gambar penderitaan penduduk Rohingya di Myanmar dipamerkan di dinding Muzium Memorial Perang Amerika Syarikat di Washington kelmarin. Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB meluluskan resolusi mendesak Myanmar memberi taraf kewarganegaraan kepada Muslim negara itu.

No comments:

Post a Comment