Monday 4 November 2013

Pasukan khas OIC ke Myanmar


Sebahagian pelarian Rohingya ditempatkan di kem pelarian di negeri Rakhine, Myanmar. - AGENSI
JEDDAH 3 Nov. - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menghantar satu pasukan khas bagi menyiasat situasi hak asasi manusia di Myanmar dan Palestin, tidak lama lagi.
Keputusan itu dibuat selepas berakhirnya mesyuarat hari ketiga Suruhanjaya Hak Asasi Tetap Bebas OIC (IPHRC), di sini pada Khamis lalu.
Mesyuarat selama lima hari itu dipengerusikan oleh Duta Nigeria ke Arab Saudi, Mohammad Kawu Ibrahim yang juga merupakan pengerusi baharu OIC.
Suruhanjaya tersebut membuat keputusan untuk menghantar pasukan khas ke Myanmar pada pertengahan November ini bagi meninjau keadaan penduduk Islam Rohingya yang dilihat menjadi mangsa diskriminasi kerajaan negara itu.
Menurut sumber kepada laman web berita Saudi Gazette, penghantaran pasukan khas itu diharapkan dapat membela nasib penduduk Islam Rohingya.
Selain itu, satu seminar yang melibatkan dialog antara pemimpin agama Buddha dan Islam Myanmar turut dirancang untuk kepentingan kedua-dua pihak.
Pasukan khas juga dijangka dihantar ke Palestin dan beberapa negara Arab yang lain bagi tujuan sama.
Suruhanjaya itu melahirkan kebimbangan tentang penindasan penduduk Palestin oleh Israel yang semakin ghairah membina penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.
IPHRC membuat keputusan untuk mengemukakan beberapa cadangan bagi melindungi hak asasi penduduk Palestin kepada Majlis Menteri-Menteri Luar OIC.
Bagi misi ke Palestin, IPHRC bakal menyediakan pasukan khas bagi empat kategori iaitu hak asasi wanita dan kanak-kanak, Islamofobia, masyarakat minoriti Islam dan hak pembangunan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131104/lu_03/Pasukan-khas-OIC-ke-Myanmar#ixzz2jcOpmQiF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment