Tuesday 6 August 2013

Letupan 'balas jeritan Rohingya'

Letupan 'balas  jeritan Rohingya'ANGGOTA polis bersenjata mengawal perkarangan kuil Buddha Ekayana di Jakarta selepas sebutir bom berketumpatan rendah, mengandungi kepingan dan bebola besi, meletup lewat kelmarin, mencederakan seorang, menurut polis. Bom diletak dalam kuil Buddha bersama kata-kata motif serangan

Jakarta: Sebutir bom yang meletup di sebuah kuil Buddha di ibu kota ini turut berserta mesej dengan kata-kata 'kami membalas jeritan penduduk Rohingya.'
Jelas, ia adalah luahan kemarahan terbaru di Indonesia berkaitan nasib beribu-ribu penduduk Islam Rohingya, yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar, negara majoriti pengikut Buddha.

Pengeboman itu adalah satu provokasi untuk melaga-lagakan penduduk Islam dan Buddha" Suryadharma Ali, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia

Bom itu berketumpatan rendah, mengandungi kepingan dan bebola besi, meletup lewat kelmarin dalam kuil Buddha Ekayana ketika ratusan orang sedang berdoa, menyebabkan seorang cedera di tangan dan kaki.

Kerosakan kecil

Bom kedua juga diletupkan namun hanya mengeluarkan asap dan tidak meletup, menurut polis. Serangan itu hanya menyebabkan kerosakan minimum.

Pegawai kuil, Ponijan Liaw memberitahu, rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki berbaju putih memasuki kuil dan meletakkan dua bungkusan hijau bersebelahan dua pintu sebelum berlalu. Letupan berlaku sejurus selepas itu, katanya.
Satu daripada bungkusan bertulis perkataan ‘kami membalas jeritan penduduk Rohingya’, kata Liaw sambil menambah rakaman itu diserahkan kepada polis.

Jurucakap polis nasional, Ronny Sompie berkata pihak berkuasa masih menyiasat motif di sebalik serangan dan tidak dapat mengulas siapa bertanggungjawab.

Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali berkata, pengeboman itu ‘adalah satu provokasi untuk melaga-lagakan penduduk Islam dan Buddha.’

“Saya pasti penduduk Islam dan Buddha tidak terpengaruh. Hubungan antara mereka adalah baik dan setakat yang saya tahu, tidak pernah berlaku konflik antara penduduk Islam dan Buddha di Indonesia.”

Ganggu keamanan Ramadan 

Menteri Keselamatan, Djoko Suyanto mengutuk penjenayah kerana merosakkan ‘keamanan Ramadan’ yang bakal berakhir minggu ini dengan sambutan Aidilfitri.

“Pasukan keselamatan diarahkan segera memburu dan menahan penjenayah,” tambahnya.

Mei lalu, polis menggagalkan komplot mengebom kedutaan Myanmar di ibu kota ini oleh puak Islam tegar ketika kemarahan memuncak berhubung nasib penduduk Islam Rohingya.

Beberapa keganasan agama di Myanmar menggoyahkan keyakinan antarabangsa berhubung perubahan politik dramatik negara itu ketika ia muncul selepas berdekad dalam pemerintahan tentera. - AFP

No comments:

Post a Comment