Tuesday 6 August 2013

Kumpulan punk Myanmar selar sami hasut keganasan

ANGGOTA-ANGGOTA Rebel Riot mengagihkan makanan kepada orang gelandangan di Yangon Myanmar pada 1 Julai lalu.


YANGON - Pengikut muzik punk rock di Myanmar bukan sahaja memecah tradisi dengan penampilan ranggi seperti rambut merah jambu, jaket kulit dan tatu tengkorak.
Namun, keberanian mereka mendedahkan perbuatan sami Buddha seperti Wirathu yang menghasut keganasan ke atas orang Islam turut menongkah arus di negara itu.
Kumpulan muzik punk lantang memperjuangkan isu tersebut dalam lagu mereka ketika orang ramai terus mendiamkan diri.
"Jika mereka sami sebenar, saya akan berdiam diri tetapi mereka bukan sami (dalam erti kata sebenarnya)," kata penyanyi kumpulan punk rock Rebel Riot, Kyaw Kyaw.
Ungkapan itu terkandung dalam lirik lagu baharu mereka yang mengecam sikap hipokrit dalam beragama dan gerakan anti-Islam 969 di Myanmar.
Kumpulan sami Buddha radikal menjadi dalang kempen berdarah terhadap orang Islam di negara yang mempunyai 60 juta penduduk itu.
Namun, tidak ramai yang berani menegur atau mencabar mereka di Myanmar.
Bagi penduduk negara itu, agama Buddha sudah sinonim dengan orang Myanmar dengan perbuatan menegur golongan sami pula dianggap biadap.
Selain itu, ramai penduduk negara itu percaya dakyah bahawa orang Islam, terutamanya etnik Rohingnya mengancam budaya dan tradisi mereka.
"Orang ramai sepatutnya kembali kepada ajaran Buddha. Adakah sikap kejam sebegitu yang Buddha mahukan?" kata penyanyi kumpulan No U Turn, Ye Ngwe Soe.
No U Turn merupakan kumpulan punk rock paling popular di Myanmar.
Ngwe Soe mencipta lagu baharu mereka, Human Wars selepas insiden keganasan terhadap etnik Islam Rohingya di Negeri Rakhine yang merebak ke beberapa kawasan lain.
"Apabila saya berada di beberapa kawasan bandar, saya terdengar orang ramai berkata bahawa 969 bencikan orang Islam dan bersikap ganas terhadap mereka. Ini sepatutnya tidak berlaku," kata Ngwe Soe.
Menurutnya, kumpulan punck rock juga tidak takut dengan ancaman pihak berkuasa yang mahu menghumban mereka ke dalam penjara.
Selain mengkritik sami Buddha, kumpulan-kumpulan punck rock di Myanmar turut menyanyikan lagu tentang keganasan tentera dan sikap haloba ahli politik negara itu.
"Mereka boleh menangkap kami, kami tidak peduli," kata penyanyi Rebel Riot, Kyaw-Kyaw.
"Namun, kami tetap akan luahkan minda kami," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2bAufT0LG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment