Tuesday 27 August 2013

Ratusan hilang tempat kediaman


Yangon: Beratus-ratus penduduk Islam terpaksa berlindung sementara di sebuah sekolah selepas kediaman dan premis perniagaan mereka dibakar pelampau Buddha dalam keganasan agama terbaru di Myanmar.

“Api hanya padam selepas hujan lebat awal pagi tadi (semalam) kata wakil rakyat pembangkang dari Parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi, Myint Naing.


Menurutnya, kira-kira 1.000 pelampau Buddha merusuh perkampungan Islam di Kanbalu di wilayah Sagaing, membakar harta benda dan menyerang kenderaan penyelamat.

Kira-kira 160 lelaki dan 158 wanita yang kehilangan tempat tinggal berlindung di sebuah sekolah selepas kekacauan itu yang menurutnya mengejutkan komuniti tempatan.


“Selama ini mereka hidup aman dan ini kali pertama mereka menyaksikan keganasan.” kata Myint Naing.


Ini kali pertama keganasan anti-Islam berlaku di wilayah Sagaing.

Akhbar New Light of Myanmar berkata, keadaan kembali normal pagi semalam dan pihak berkuasa berusaha membuka khemah untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal. Tidak ada laporan mengenai kecederaan atau kematian diterima.


Menurut akhbar berkenaan, 12 orang ditahan berkait dengan kejadian itu yang bermula selepas seorang lelaki Islam dituduh cuba memperkosa seorang wanita Buddha malam Sabtu lalu.

Sekumpulan 150 orang dan tiga sami Buddha berkumpul di balai polis tempatan, menuntut supaya lelaki itu diserahkan kepada mereka.


Apabila tuntutan mereka ditolak, kumpulan berkenaan menyerang harta benda milik penduduk Islam di kawasan itu sebelum lebih ramai pelampau Buddha menyertai keganasan berkenaan.


Keganasan agama di Myanmar yang bermula di barat negara itu tahun lalu sudah meragut 250 nyawa dan menyebabkan lebih 140,000 hilang tempat tinggal.


Kekacauan itu merebak ke bahagian lain tahun ini.


Pasukan keselamatan yang satu ketika digeruni terbukti tidak mampu untuk menangani kekacauan itu. Kumpulan hak asasi mendakwa mereka secara aktif bersekongkol dengan pelampau yang diketuai sami berfahaman radikal. - AFP

No comments:

Post a Comment