Tuesday 1 October 2013

Lagi rusuhan tercetus di Myanmar


Dua lelaki memerhatikan api besar yang memusnahkan kediaman-kediaman dalam satu daripada siri rusuhan agama di Myanmar. - AGENSI
YANGON 30 Sept. - Penduduk Islam Myanmar yang ketakutan terpaksa bersembunyi di rumah masing-masing hari ini selepas polis menyuraikan kumpulan perusuh Buddha yang membakar kediaman serta mengepung masjid di bandar Thandwe, barat laut negara ini, malam tadi.
Menurut sumber keselamatan, keganasan agama terbaharu itu meletakkan situasi semasa bandar yang terletak 260 kilometer dari Yangon di wilayah Rakhine itu, menjadi tidak menentu selepas polis berjaya mengawal rusuhan yang mula tercetus, semalam.
Pengerusi Parti Islam Kaman, Kyaw Zan Hla berkata, kira-kira 200 orang pengikut Buddha menyertai rusuhan itu dengan ada di antara mereka yang memakai topeng dan membawa obor.
Jelasnya, beliau turut terlibat dalam pertengkaran selepas membantah tindakan seorang lelaki Buddha meletakkan motosikal di hadapan rumahnya kelmarin dan khabar angin mula merebak selepas itu dengan menyatakan beliau menghina agama Buddha.
"Kami sekarang ketakutan dan bersembunyi di dalam rumah kami, sama seperti yang berlaku sebelum ini,'' kata ahli politik Islam itu ketika dihubungi Reuters.
Zan Hla berkata, rusuhan semalam dipercayai berpunca daripada pertelingkahan kecil yang kemudian sengaja diperbesar-besarkan.
Sementara itu, polis berkata, tiada kematian atau kecederaan berlaku akibat rusuhan tersebut di bandar yang menempatkan lapangan terbang yang digunakan pelancong untuk melawat pantai popular Ngapali.
Pertempuran antara penganut Islam dan Buddha mengakibatkan sekurang-kurangnya 237 penduduk terbunuh, manakala lebih 150,000 penduduk kehilangan tempat tinggal sejak Jun tahun lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131001/lu_02/Lagi-rusuhan-tercetus-di-Myanmar#ixzz2gSr9aw79
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment