Thursday 3 October 2013

Penduduk Islam sembunyi di hutan kerana ketakutan


Sebuah rumah penduduk Islam, musnah teruk akibat kebakaran dilakukan beratus-ratus perusuh Buddha di Thandwe, Rakhine, barat Myanmar, semalam. - AGENSI
THANDWE 2 Okt. - Penduduk Islam yang ketakutan bertindak bersembunyi di hutan di barat Myanmar hari ini, sehari selepas kira-kira 800 perusuh Buddha membunuh empat orang dan membakar berpuluh-puluh kediaman komuniti tersebut.
Keganasan berhampiran Thandwe itu berlaku ketika Presiden Thein Sein dijadual melawat bandar ini lewat hari ini, untuk hari kedua lawatan pertamanya ke negeri bergolak Rakhine sejak ketegangan etnik tercetus tahun lalu.
Insiden terbaharu di Thabyuchaing, kira-kira 20 kilometer ke utara Thandwe itu turut meningkatkan persoalan tentang kegagalan kerajaan membendung serangan anti-Islam dan melindungi komuniti minoriti itu.
Menurut saksi, kehadiran tentera yang ramai menjelang lawatan Thein Sein di bandar itu gagal menghalang rusuhan tersebut kerana tentera dan polis didakwa tidak melakukan apa-apa.
Seorang pegawai polis tempatan, Kyaw Naing berkata, kira-kira 800 perusuh Buddha dengan sesetengah daripadanya membawa pedang, merusuh di jalan-jalan raya di sekitar bandar itu semalam.
Katanya, empat lelaki dan seorang wanita warga emas maut dalam insiden itu, manakala kira-kira 70 hingga 80 kediaman lagi dibakar.
Seorang penduduk Islam, Myo Min berkata, dia kini bimbang tentang keselamatan penduduk yang lari ke hutan akibat rusuhan tersebut.
"Ramai daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak, dan mereka kini masih bersembunyi, selain terkepung dan tidak dapat keluar.
"Mereka sangat perlukan air bersih serta makanan dan kami sedang berbincang dengan pihak berkuasa untuk memindahkan atau menghantar makanan kepada mereka," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131003/lu_05/Penduduk-Islam-sembunyi-di-hutan-kerana-ketakutan#ixzz2gbliEl2k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment