Sunday 27 September 2015

300 lembu korban untuk Rohingya


WARTAWAN SINAR HARIAN
300 lembu korban untuk Rohingya
300 lembu korban untuk Rohingya Mohd Azmi (dua, kanan) mengagihkan daging korban kepada komuniti Rohingya, dibantu Ahmad Tarmizi (kanan).
27 SEPTEMBER 2015


SUNGAI PETANI - Sebanyak 100 lembu dikorbankan sempena sambutan Aidiladha untuk diagihkan kepada komuniti Rohingya di Malaysia, manakala 200 lagi diagihkan di Wilayah Arakan dan Meiktila, Myanmar.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Program Misi Qurban untuk Ummah yang dianjurkan bersama Turkey Diyanet Vakfi (TDV) diadakan bagi membolehkan komuniti itu turut meraikan perayaan dengan menerima sumbangan daging korban.

“Ia berlangsung penuh keakraban dan muafakat antara masyarakat Muslim tempatan dan komuniti Muslim Rohingya. Penghargaan turut diberikan kepada penyumbang program dari kalangan rakyat Turki yang dikelolakan TDV,” katanya, pada Program Misi Qurban untuk Ummah, di Masjid Permatang Gedung, kelmarin.

Pada program itu, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid dan wakil TDV, Halil Etka turut mengagihkan 2,100 pek daging dari 30 lembu kepada komuniti Muslim Rohingya dari seluruh Kedah dan Pulau Pinang.

“Program korban bersama komuniti Rohingya turut diadakan di seluruh negeri, termasuk Bangi (Selangor), Ipoh (Perak) dan Batu Pahat (Johor). Mapim diberi kepercayaan untuk menguruskan projek ini di Malaysia dan Myanmar,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, Mapim Wilayah Perak turut melaksanakan program Misi Qurban untuk Ummah di Surau Al Qamar, Pengkalan Pegoh Pasir Putih, Perak, dengan mengagihkan 500 pek daging (15 ekor lembu) kepada komuniti Rohingya setempat.

“Program sama turut diadakan di Masjid Al Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor dan Taman Sikamat, Senawang, Negeri Sembilan pada hari ini (semalam). Manakala pada 26 September, program diteruskan di Batu Pahat, Johor,” katanya.

No comments:

Post a Comment