Menurut Program Kajian Geo­logi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi sekuat 6.8 pada skala Richter berlaku kira-kira 25 kilometer di bahagian barat wilayah Chauk, tengah Myanmar yang kurang penduduk, pada kedalaman 84.1 kilometer.
Kementerian Penerangan Myanmar berkata, mangsa yang terbunuh termasuk dua kanak-kanak perempuan.
Kali terakhir Myanmar dilanda gempa bumi ialah pada 2012 yang meragut 26 nyawa juga di bahagian tengah negara ini.
Sementara itu di Itali, jumlah korban gempa bumi di bahagian tengah negara it, kelmarin me­ningkat kepada 247 dengan pasukan penyelamat masih berusaha menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam runtuhan bangunan ekoran bencana itu.
Beratus-ratus mangsa lain dilaporkan cedera dalam gempa berukuran 6.2 pada skala Richter itu di beberapa bandar yang teruk terjejas termasuk Accumoli, Amatrice, Posta dan Arquata del Tronto.
Menurut Guido Bordo, 69, yang kehilangan kakak dan suaminya dalam bencana itu ketika sedang bercuti di Illica, tidak jauh dari Accumoli, dia segera bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima berita mengenai gempa tersebut.
“Saya tidak ada di situ ketika gempa bumi berlaku. Ketika saya sampai di sana, saya sempat menyelamatkan anak-anak kakak saya dan membawa mereka ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Turut terkorban dalam bencana yang disifatkan paling buruk di Itali sejak 2009 itu ialah dua orang bayi, masing-masing berusia sembilan bulan dan 18 bulan serta dua kanak-kanak lelaki yang terbunuh bersama anggota keluarga mereka di Accumoli.
Dua lagi kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat dan tujuh tahun pula diselamatkan oleh nenek mereka, meskipun wanita tua itu terpaksa menerima hakikat kehilangan suaminya dalam gempa bumi berkenaan.
Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi yang bersedih dengan kejadian itu berkata, ketika ini, masih terlalu awal untuk memikirkan apakah cara terbaik untuk mencegah bencana tersebut daripada berulang. – AFP/DPA