Saturday 26 March 2016

Suu Kyi enggan ditemu bual wartawan Islam


26 Mac 2016 12:32 AM


YANGON 25 Mac – Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi dilaporkan berang selepas diasak berulang kali oleh wartawan BBC Today berhubung penindasan terhadap etnik minoriti beragama Islam, Rohingya di negara ini dalam satu temu bual pada tahun 2013.
Insiden berkenaan yang hanya didedahkan oleh penulis, Peter Popham dalam bukunya yang bertajuk The Lady And The Generals: Aung San Suu Kyi And Burma’s Struggle For Freedom, menyaksikan Suu Kyi turut mengeluarkan kenyataan rasis.
Ketika kejadian, wartawan, Mishal Husain terus memberi tekanan kepada pemimpin Liga Kebangsaan bagi De­mok­rasi (NLD) itu supaya memberi jawapan berhubung isu berkenaan.
Mail Online melaporkan, ketika rakaman wawancara dihentikan seketika, Suu Kyi yang marah didengar berkata; “Tiada siapa maklumkan saya akan ditemu bual oleh seorang Muslim.”
Wawancara terbabit disiarkan pada Oktober 2013.
Sepanjang temu bual itu juga, Suu Kyi enggan mengutuk sentimen anti-Islam dan gelombang pembunuhan Rohingya di Myanmar walaupun didesak oleh Mishal.
“Saya rasa terdapat banyak penganut Buddha yang juga meninggalkan negara atas pelbagai alasan. Keadaan ini adalah hasil daripada penderitaan yang dialami akibat pentadbiran rejim diktator,’’ katanya.
Suu Kyi pernah dikritik berikutan sikapnya yang berpeluk tubuh dan mengunci mulut dalam isu penindasan Rohingya, bertentangan dengan Ha­diah Nobel Keamanan yang dite­rimanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suu-kyi-enggan-ditemu-bual-wartawan-islam-1.204755#sthash.NOw1SDqj.dpuf

No comments:

Post a Comment