Monday 21 March 2016

Demokrasi kembali di Myanmar

MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

 21 MAC 2016

Demokrasi kembali di Myanmar

Hytin Kyaw semasa majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Myanmar baru-baru ini.


  POLITIK di negara Myanmar sentiasa mendapat perhatian masyarakat dunia. Politik negara itu sentiasa mempunyai warna-warni dan pasang surut yang menyebabkan masyarakat dunia sukar meramal apa yang akan berlaku selepas ini.
Menceritakan dahulu kisah sejarah politik negara itu, Myanmar ataupun dahulu dikenali sebagai Anglo-Burma ditemui pada abad ke-16 oleh dua orang raja yang dikenali sebagai Tabinshwehti dan Bayinnaung.
Kedua-dua orang raja ini berjaya menyatukan beberapa pecahan negeri Anglo-Burma menjadi sebuah negara. Namun, pada tahun 1824, negara tersebut menghadapi peperangan setelah negara tersebut dijajah oleh pihak British.
Peperangan tersebut telah menyebabkan Anglo-Burma hilang beberapa buah negeri seperti Assam, Manipur, Chachar dan beberapa buah negara lain. Pada tahun 1942, negara Jepun menjajah Burma dan ini menyebabkan mereka terlepas daripada jajahan British.
Setelah lima tahun dijajah Jepun, British akhirnya kembali menjajah Burma dengan bantuan daripada pemimpin Pertubuhan Pembebasan Rakyat (AFPFL), Aung San pada tahun 1947. Daripada penjajahan tersebut, bermulalah pemerintahan ala tentera yang dilakukan oleh Burma.
Aung San, pemimpin pertama Myanmar
Menceritakan sedikit mengenai latar belakang Aung San, beliau dilahirkan pada tahun 1915 yang mana, ayahnya, U Phar adalah seorang peguam. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah agama di Natmauk.
Pada tahun 1933, beliau menyambung pengajian di Universiti Rangoon pada tahun 1933 dalam jurusan undang-undang. Pensyarah yang mengajar Aung San mengatakan beliau adalah seorang pelajar pintar dan cepat belajar.
Atas kebijaksanaannya, Aung San telah dipilih sebagai presiden persatuan pelajar universiti tersebut pada tahun 1938. Namun, jawatan tersebut bertahan hanya beberapa bulan setelah beliau mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan menyertai arena politik.
Beliau telah menyertai sebuah persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Rakyat Burma (Dobama Asiayone). Daripada persatuan tersebut, Aung San telah berjuang melawan penjajahan British untuk memerdekakan Burma.
Aung San kemudiannya bersatu dengan beberapa parti di negara tersebut untuk melawan British. Namun, tindakan beliau dihidu pada tahun 1939, setelah British mengeluarkan notis tangkapan terhadap beliau.
Melihat notis itu, Aung San melarikan diri ke China untuk memohon bantuan daripada tentera negara itu. Namun, beliau menukar fikiran dengan meminta pertolongan daripada tentera Jepun.
Dan akhirnya pada tahun 1943, British akhirnya keluar daripada Burma setelah Jepun menyerang negara tersebut. Pada Ogos 1943, tentera Jepun telah mengisytiharkan Burma sebagai sebuah negara merdeka manakala Aung San dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Namun perkara tersebut tidak bertahan lama setelah Aung San merasakan tentera Jepun menipu dirinya serta rakyat Burma. Justeru itu, beliau secara senyap-senyap, menghubungi tentera British di India dan tentera Komunis untuk memohon pertolongan.
Dalam masa yang sama, Aung San turut mencetuskan pemberontakan di negaranya. Akhirnya pada tahun 1947, British kembali berjaya menjajah Burma setelah Jepun tewas dalam peperangan.
Selepas berjaya menawan Burma, British telah mengadakan pilihan raya pada April 1947. Dalam pilihan raya tersebut, parti AFPFL pimpinan Aung San berjaya memenangi 176 kerusi daripada 210 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Namun pada Julai 1947, sebuah kumpulan telah menceroboh pejabat kerajaan Burma dan membunuh Aung San serta enam orang menterinya ketika beliau sedang melakukan persiapan untuk majlis peralihan kuasa British kepada Burma sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment