Tuesday 5 January 2016

Myanmar haram masjid sambut perayaan 75 tahun berikutan aduan sami Buddha



masjid-yangoonYANGON, Selasa – Kerajaan apartheid Myanmar mengharamkan sambutan perayaan 75 tahun kegemilangan sebuah masjid di pinggir bandar perdagangan di sini semalam, berikutan rungutan kumpulan sami militan, Wirathu.
Penjaga masjid berkenaan memberitahu agensi berita Anadolu menerusi telefon bahawa umat Islam merancang mengadakan sambutan di Masjid Jamek Sunni (gambar) sempena ulang tahun ke 75 semalam (4 Januari) sempena Hari Kebangsaan Negara itu.
Bagaimanapun, sehari sebelum sambutan pihak berkuasa menolak permohonan mereka.
“Kami merancang mengadakan sambutan pada Hari Kebangsaan, jadi ramai orang akan dapat menyertainya kerana ia adalah hari cuti.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa kami tidak boleh mengadakan sambutan itu. Mereka menyatakan bahawa apa saja sambutan terutama berkaitan agama di masjid itu tidak dibenar pada Hari Kebangsaan,” katanya yang enggan dikenali.
Pada malam minggu lalu, kumpulan sami militan Wirathu mengirim dalam Facebook bahawa ahli tempatan mereka Ma Ba Tha – kumpulan nasionalis Buddha – mengadu mengatakan sambutan itu tidak boleh dibenarkan di masjid di bandar Teikgyi.
“Kerana kami mendengar mereka merancang membangkitkan isu Muslim Rohingya ketika sambutan itu,” kata Wirathu dalam Facebook itu sambil mendakwa umat Islam ‘mahu membuat ujian’ selepas kemenangan National League for Democracy (NLD) dalam pilihan raya umum lalu yang mengambil-alih kuasa pada Mac.
Walaupun pemimpin NLD – pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi – menjauhkan diri daripada Muslim, ramai penganalisis mengesyaki desakan daripada kumpulan hak asasi manusia dan pelabur luar akan menyebabkan parti itu akan mengetatkan kawalan ke atas penindasan agama.
Wirathu sebelum ini melancarkan kempen ganas anti-Muslim di seluruh negara, menyebabkan berlaku rusuhan hingga ribuan orang terbunuh, terutama di negeri Rakhine – kawasan penempatan paling ramai komuniti Rohingya.
Puak militan sami Buddha itu juga memberi amaran kepada umat Islam supaya tinggal dengan aman atau keluar dari Myanmar.
Penjara masjid berkenaan bagaimanapun, menafikan isu Rohingya akan dibincangkan dalam sambutan itu. – Agensi

No comments:

Post a Comment