Wednesday 25 November 2015

Kewarganegaraan etnik Rohingya ditolak

Kewarganegaraan etnik Rohingya ditolak
Ribuan penduduk Rohingya yang tinggal di kem sementara Thel-Chaung di Rakhine memerlukan kewarganegaraan bagi mengesahkan status mereka. - Foto AFP
25 NOVEMBER 2015

YANGON - MYANMAR . Kerajaan yang disokong tentera Myanmar menolak permohonan untuk memberikan kewarganegaraan kepada etnik minoriti Rohingya di negara itu.
Jurucakap presiden dan Menteri Penerangan, Ye Htut berkata, permohonan kewarganegaraan masyarakat Islam itu tidak akan dilayan dan pihak pentadbiran tidak akan meluluskannya.
"Pendirian kerajaan adalah kita menolak sepenuhnya penggunaan istilah Rohingya," katanya menerusi satu kenyataan yang ditulis di media sosial Facebook.
Difahamkan, kenyataan itu dibuat berikutan Semakan Berkala Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengkaji keadaan hak asasi manusia di semua negara anggotanya.
Kerajaan Myanmar didakwa tidak mempedulikan lebih separuh daripada 281 cadangan kajian termasuk semua yang berkaitan dengan hak sivil dan politik etnik Rohingya di negara Asia Tenggara.
Pegawai negara terbabit turut mengkategorikan sebahagian besar daripada 1.3 juta penduduk Rohingya sebagai Benggali, dan menganggap mereka adalah pendatang haram dari negara jiran Bangladesh. - Press TV

Monday 16 November 2015

Myanmar negara paling pemurah


16 NOVEMBER 2015
derma

LONDON - BRITAIN. Negara Myanmar menduduki ‎kedudukan pertama  bagi negara paling murah hati di dunia.

Memetik laporan AFP, menerusi kajian yang dijalankan Yayasan Bantuan Kebajikan (CAF) yang berpusat di London mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 orang dewasa negara itu menderma dan separuh lagi menghabiskan masa mereka bekerja secara sukarela untuk tujuan kebajikan.

"Sementara Malaysia menduduki tangga kesepuluh, manakala Burundi berada ditempat tercorot, diikuti oleh China, Yaman dan Lithuania," petik kenyataan CAF.

Dalam pada itu, CAF mendapati lebih ramai penduduk dunia menderma dengan sekitar 1.4 bilion atau 31.5 peratus penduduk dewasa menyumbangkan wang pada 2014, meningkat daripada 31.5 peratus pada 2013.

Thein Sein ikrar peralihan kuasa berlangsung aman

Yangon: Presiden Thein Sein semalam berkata, pilihan raya bersejarah yang menyaksikan kemenangan besar diraih parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi adalah hasil pembaharuan yang dilaksanakan kerajaannya.
Bekas jeneral itu yang meninggalkan pasukan tentera untuk menguasai kerajaan campuran awam Myanmar lima tahun lalu juga mengulangi ikrar untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan secara aman dan lancar.
Berucap di mesyuarat parti politik di Yangon, kemunculan pertamanya di khalayak ramai sejak pilihan raya berkenaaan, Thein Sein berkata: “Keputusan pilihan raya itu adalah hasil proses pembaharuan dan seperti yang kami janjikan, kami berjaya mengadakannya secara adil.
“Jangan bimbang mengenai peralihan kuasa. Kami akan menyerahkannya kepada kerajaan baru.”
Hampir 90 parti politik, sebahagiannya tumpas dalam pilihan raya berkenaan, hadir pada mesyuarat berkenaan.
Parti Liga untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi memenangi 80 peratus kerusi dalam pilihan raya itu.
Thein Sein dan panglima tentera negara itu sebelum ini berkata, mereka akan berbincang dengan Suu Kyi dalam masa terdekat ini untuk berbincang mengenai peralihan kuasa.
Kerajaan baru Myanmar dijangka dibentuk Januari depan, tetapi Suu Kyi berdepan sekatan untuk mengambil alih jawatan presiden kerana perlembagaan negara itu menghalang mereka yang berkahwin dengan rakyat asing atau mempunyai anak warga negara lain memegang jawatan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 7:13 AM


Thein
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93357#sthash.CqY3wtIQ.dpuf

Saturday 14 November 2015

Parti Suu Kyi boleh bentuk kerajaan

Yangon: Parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi memenangi majoriti parlimen Myanmar dalam pilihan raya hujung minggu lalu membolehkan ia melantik presiden dan membentuk kerajaan sekali gus menamatkan pemerintahan junta tentera.
Ia adalah kali pertama parti National League for Democracy (Liga Kebangsaan Demokrasi - NLD) pimpinan Suu Kyi sejak 1990 yang menyaksikan ia menguasai 80 peratus kerusi. Suu Kyi, 70, dibebaskan dari tahanan dalam rumah oleh tentera lima tahun lalu.
Pilihan raya itu dikendalikan Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya. NLD perlu memenangi dua pertiga kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan dan ia sudah memenangi 348 kerusi ketika masih ada beberapa keputusan belum diumumkan.
Bagaimanapun, perlembagaan oleh junta tentera tidak membenarkan Suu Kyi menjadi presiden dan tentera tetap menguasai 25 peratus kerusi. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 5:28 PM


Ahli NLD bergambar di depan potret besar pengerusi parti itu, Aung San Suu Kyi, di depan ibu pejabat NLD di Yangon. NLD menguasai lebih dua pertiga kerusi parlimen Myanmar membolehkan ia melantik presiden dan membentuk kerajaan. - Foto EPA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92864#sthash.faYKlFQO.dpuf

Friday 13 November 2015

Tentera janji alih kuasa lancar

Yangon: Tentera Myanmar semalam berikrar untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan secara lancar ketika parti prodemokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi hampir mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu.
Myanmar dikuasai tentera selama hampir setengah abad menerusi pemerintahan secara langsung. Sejak 2011, ia ditadbir oleh kerajaan campuran yang dikuasai sekutunya.
Bagaimanapun, keseimbangan kuasa kini hampir beralih kepada Liga
Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi.
Parti itu menguasai hampir 80 peratus kerusi yang diumumkan sejak pilihan raya Ahad lalu, pencapaian besar dalam perjuangan demokrasinya.
Menjelang petang semalam, NLD hanya kekurangan 38 kerusi untuk meraih 329 kerusi di kedua-dua dewan.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, ketua tentera Min Aung Hlaing mengucapkan tahniah kepada NLD dan Suu Kyi serta berjanji menghormati keputusan berkenaan dan bekerjasama dengan kerajaan baru. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:30 AM

AKTRES Kay Kay Moe Myint bergambar selfie di luar kediaman Suu Kyi di Yangon semalam selepas pemimpin pembangkang itu meraikan selebriti yang berkempen untuknya pada pilihan raya lalu.

Thursday 12 November 2015

Ketua tentera Myanmar ikrar kerjasama dengan kerajaan baharu

KHAMIS, 12 NOVEMBER 2015 @ 12:55 PM

 YANGON: Ketua tentera paling berkuasa di Myanmar bersetuju untuk bekerjasama dengan parti yang bakal membentuk kerajaan baharu pimpinan Aung San Suu Kyi selepas memperoleh majoriti pada pilihan raya umum negara itu. "Tatmadaw (angkatan tentera) akan melakukan kerjasama yang berbaik dengan kerajaan baharu kelak selepas pilihan raya tamat," kata Ming Aung Hlaing dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi tentera hari ini. - AFP

Ming Aung Hlaing

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/96335

Suu Kyi panggil rundingan damai antara Presiden, ketua tentera



YANGON: Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini menggesa rundingan damai kebangsaan diadakan dengan Presiden Myanmar dan ketua tentera selepas parti diketuainya menang besar dalam pilihan raya umum, Ahad lalu.
Dengan kuasa yang ada selepas Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menguasai hampir 90 peratus kerusi yang sudah diumumkan setakat ini, Suu Kyi mengambil inisiatif berkenaan.
"Rakyat sudah menyatakan kehendak mereka dalam pilihan raya ini," katanya dalam sepucuk surat yang dihantar kepada kepada Presiden Thein Sein, Ketua Komander Min Aung Hlaing serta Speaker Dewan, Shwe Mann, hari ini.
"Saya ingin menjemput anda untuk membincangkan perdamaian kebangsaan pada minggu depan mengikut waktu anda."
Surat berkenaan yang dikongsi oleh NLD, dihantar selepas pergerakan demokrasinya mengalahkan parti pemerintah.
Keseimbangan kuasa Myanmar, yang didominasi sekian lama oleh junta tentera dan sekutunya, dilihat bakal berakhir.
Bagaimanapun, kemenangan itu tetap mendatangkan resah kepada penyokong Suu Kyi mengenai bagaimana pihak tentera bertindak balas terhadap keputusan pilihan raya yang memeritkan itu. - AFP


IKON demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi. - Foto EPA

'Tak buat hal'

Yangon: Peralihan Myanmar ke arah pemerintahan demokrasi penuh selepas berdekad diperintah tentera nampak semakin hampir apabila parti pimpinan ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi terus menunjukkan kemenangan dengan kerajaan berjanji 
peralihan kuasa secara aman walaupun keputusan rasmi masih belum diumumkan.
Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Suu Kyi berkata, ia menerima mesej daripada Menteri Penerangan Ye Htut bagi pihak Presiden Thein Sein yang mengucapkan tahniah atas kemenangan dikecapi di Parlimen setakat ini dalam pilihan raya yang diadakan Ahad lalu.
Ye Htut berkata, kerajaan memastikan peralihan kuasa secara baik ‘bertepatan dengan garis masa ditetapkan perlembagaan’.
Mesej itu secara tidak langsung meredakan kebimbangan rakyat bahawa pihak tentera - yang berpengaruh kuat terhadap parti pemerintah - akan menghalang kemenangan NLD seperti dilakukan selepas pilihan raya pada 1990.
Seterusnya ini bermaksud Myanmar akan diperintah kerajaan yang pertama sejak berdekad lalu yang tidak dipengaruhi tentera. Bagaimanapun, Suu Kyi masih tidak boleh dilantik presiden disebabkan peruntukan dalam perlembagaan yang melarangnya berikutan anaknya warga Britain.
Namun, Suu Kyi tidak patah semangat, sebaliknya mengumumkan dia sanggup menjadi pemimpin de facto jika partinya membentuk kerajaan baru kelak.
Dalam temu ramah dengan rangkaian televisyen Channel NewsAsia, Suu Kyi berkata: “Saya akan membuat semua keputusan kerana saya ketua parti yang menang. Presiden akan dipilih untuk memenuhi kehendak Perlembagaan, namun dia perlu memahami dia tidak akan mempunyai kuasa mutlak, sebaliknya mesti bertindak mengikut kehendak parti.”
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan 151 kerusi dewan rakyat dengan 135 dimenangi NLD termasuk kemenangan Suu Kyi di kawasannya, Kawhmu.
Sementara itu, NLD juga memenangai 29 daripada 33 kerusi dewan negara.
Jika NLD berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga ia akan menguasai semua jawatan eksekutif di dalam sistem parlimen Myanmar.
Tentera dan parti-parti terbesar di kedua-dua dewan akan mencadangkan calon untuk jawatan presiden. Selepas 31 Januari depan, semua 664 ahli Parlimen akan mengundi dengan pemenangnya menjadi presiden manakala dua yang lain sebagai naib presiden.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:40 AM


SEORANG lelaki melintas di depan grafiti yang mengucapkan tahniah kepada Suu Kyi di Mandalay.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92489#sthash.DAQiyrrG.dpuf

Rohingya: Enam suspek dikenal pasti


12 NOVEMBER 2015

rohingya

rohingya

KUALA LUMPUR - Enam suspek terdiri daripada warga Myanmar dan Thailand telah dikenal pasti bagi membantu siasatan berhubung penemuan kubur dipercayai etnik Rohingya di Wang Kelian, Perlis, Mei lepas.

Namun, tiada suspek tempatan yang dikenal pasti setakat ini, sejak siasatan dijalankan Pasukan Siasatan Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Ketua pasukan berkenaan Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kesemua suspek dikesan berdasarkan maklumat daripada soal siasat kira-kira 30 saksi yang majoritinya rakyat tempatan dan beberapa pelarian Rohingya di Depoh Tahanan Belantik, Sik, Kedah.

"Daripada maklum balas mereka, tiada keterangan bahawa rakyat tempatan terlibat, hanya nama enam orang ini yang disebut.

"Bagaimanapun, saya alu-alukan orang ramai untuk salurkan maklumat kepada kami sekiranya mereka mengetahui ada orang tempatan terlibat, jangan hanya dengar cakap-cakap," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Goh berkata nama kesemua suspek terdiri daripada seorang wanita dan lima lelaki ini telah diperoleh dan sehingga kini mereka masih bebas sama ada di dalam atau luar Malaysia.

"Dipercayai suspek perempuan adalah warganegara Thailand, tetapi tidak boleh sahkan untuk suspek lelaki, tetapi semua sama ada (mereka) warga Myanmar atau Thai. Umur mereka juga belum diperoleh, cuma mereka orang dewasa.

"Hasil siasatan kita dah rujuk kepada Pejabat Peguam Negara kira-kira dua minggu lepas untuk nasihat, cuma belum ada keputusan setakat ini," katanya.

Bagaimanapun, Goh menarik perhatian bahawa kesemua suspek ini bukan dalang utama kes berkenaan.

"Mereka ini yang kita kesan adalah tahap bawahan, kita percaya mereka ini berperanan seperti pembekal makanan, sentri," katanya.

Ditanya sama ada, kesemua suspek berasal daripada satu kumpulan, Goh berkata ia belum dapat dipastikan lagi.

Beliau percaya maklumat hasil daripada keterangan keenam-enam suspek ini kemudian, akan membawa kepada tangkapan dalang utama.

Pada Mei lepas, pasukan keselamatan menemui 106 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar di beberapa kubur besar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Semalam, agensi media antarabangsa melaporkan 88 individu termasuk seorang jeneral kanan Thailand didakwa di mahkamah di Bangkok, Thailand atas jenayah pemerdagangan manusia di negara berkenaan. - Bernama

Wednesday 11 November 2015

Suu Kyi 'sapu bersih'


Yangon: Myanmar masih dalam keadaan terawang-awang apabila setakat semalam belum ada keputusan rasmi pilihan raya Ahad lalu, namun ketua parti pembangkang Aung San Suu Kyi dilihat menang besar yang mampu melonggarkan pegangan tentera di negara itu.

Pilihan raya itu yang juga kali pertama Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi bertanding sejak 1990 melihat 80 peratus pengundi keluar mengundi.

Keputusan rasmi daripada pilihan raya itu yang diumumkan sedikit demi sedikit kepada orang ramai sejak Isnin menunjukkan NLD mendahului undian.

Menjelang semalam, parti itu memenangi 88 peratus daripada kerusi dipertanding dengan 78 dalam Dewan Rakyat dan 29 lagi di Dewan Negara.

Suu Kyi berkata, dia percaya partinya berjaya memperoleh kedudukan majoriti yang kukuh.

Sementara itu, Parti Kesatuan Solidariti Dan Pembangunan (USDP) bersedia menghadapi kekalahan teruk.

Anggota kanan USDP Kyi Win berkata: “USDP kalah teruk. NLD menang.

“Nasiblah... Biar NLD pula bekerja. Suu Kyi kini perlu memikul tanggungjawab dan apapun, kami ucapkan tahniah kepada mereka.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:55 AM

PENYOKONG NLD bersorak selepas melihat keputusan awal pilihan raya di luar pejabat parti berkenaan di Mandalay.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92152#sthash.OP3y4L9w.dpuf

Parti Pimpinan Suu Kyi Semakin Hampiri Kemenangan


Diterbitkan: Rabu, 11 November 2015 3:51 PM
Ketua pro-demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi membuang undi di Yangon, ketika pilihan raya umum Myanmar, 8 November lalu. -fotoREUTERS

YANGON: Isyarat kemenangan bagi pergerakan pro-demokrasi yang dipimpin Aung San Suu Kyi semakin hampir dalam pilihan raya umum di Myanmar.
Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) menang 56 daripada 61 kerusi Dewan Rakyat yang diumumkan pada Rabu.
Keputusan terkini ini sekali gus membawa maksud NLD mandapat hampir 90 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan dan diisytiharkan setakat ini.

Ia juga menunjukkan parti dalam keadaan baik dalam perjalanannya untuk membentuk kerajaan bersama majoriti yang diperlukan.

Suu Kyi, yang mempunyai tarikan untuk pergerakan demokrasi, mendapat puluhan ribu undi untuk mengekalkan kerusinya di Kawhmu.

Walaupun keputusan jelas memihak kepada mereka, pegawai pilihan raya memberi tekanan dengan menentang perisytiharan NLD sebagai pemenang.

Ini telah membawa kekecewaan kepada penyokong NLD yang kebanyakan daripada mereka telah menunggu 25 tahun sejak parti itu kali terakhir bertanding untuk keputusan undi memihak kepada mereka.
"Kami tahu kami telah menang 80 peratus ... mudah-mudahan kita akan mendapat pengesahan hari ini," kata Ko Ko, yang menguruskan sebuah syarikat penghawa dingin di Yangon.

"Kami menjangkakan Daw Suu mampu mengubah negara...saya mengundi untuk perubahan."

Kebimbangan semakin meningkat apabila mengingati pilihan raya pada tahun 1990 di mana kemenangan NLD tidak diiktiraf oleh jeneral.

Pemerintahan tentera mengenepikan keputusan itu dan mengetatkan cengkaman ke atas negara dengan memenjarakan penentang dan mengurung Suu Kyi.

Pada hari Khamis Suu Kyi berkata beliau menjangkakan dapat mencapai majoriti, tetapi menggesa penyokongnya supaya tidak meraikannya sehingga keputusan akhir diumumkan.
Pilihan raya Ahad ini telah menyebabkan Parti Pembangunan dan Kesatuan Perpaduan (USDP) menghampiri kemusnahan.

Setakat ini USDP hanya menang beberapa kerusi, dengan beberapa orang kuat parti disingkir keluar dari kawasan mereka oleh pengundi.

Sebelum pengundian dijalankan, Presiden Thein Sein berikrar bersama partinya dan tentera  untuk menghormati keputusan itu.

"Ini adalah pilihan raya yang bebas dan adil," kata jurucakap beliau Zaw Htay kepada AFP, Rabu.

"Kami sedang menunggu keputusan (rasmi)," katanya ketika ditanya sama ada presiden secara rasmi akan mengaku kalah.

USDP telah membentuk sebuah kerajaan sejak 2011.

Parti itu berkata ia telah membawa negara ini melalui pembaharuan ekonomi dan sosial yang besar yang membawa kepada pilihan raya Ahad lalu, yang menyaksikan 80 peratus keluar mengundi.

Pengkritik mengutuk pemerintahan tentera, yang memerintah sebagai junta selama setengah abad.

Tentera diberikan 25 peratus daripada semua kerusi Parlimen di bawah perlembagaan untuk memastikan kepentingannya pada masa hadapan.

Piagam tersebut juga mengharamkan Suu Kyi daripada memegang jawatan presiden dan jawatan utama keselamatan tentera.

Suu Kyi, bagaimanapun, telah berikrar untuk memerintah 'dari atas presiden', menunjukkan bahawa dia akan menggunakan proksi untuk meminggirkan halangan untuk beliau memegang jawatan tertinggi.

NLD memerlukan 67 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan tanpa rakan-rakan gabungan.

Jurang kemenangan yang lebih besar memberikan kuasa yang lebih kukuh di Parlimen dengan menjelangnya perbalahan politik .

NLD menang, nasib Rohingya tetap sama


NLD menang, nasib Rohingya tetap sama

11 NOVEMBER 2015
NLD menang, nasib Rohingya tetap sama Masyarakat Rohingya berdepan penindasan berterusan di Myanmar. - Foto AFP

AMSTERDAM - BELANDA. Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan ikon keamanan, Aung San Su Kyi dijangka meraih kemenangan bersejarah dalam pilihan raya umum Myanmar, berdasarkan keputusan terbaharu diumumkan semalam.

NLD dilaporkan memenangi 111 daripada 121 kerusi pertama yang dikira semalam. Pilihan raya itu menyaksikan 330 kerusi dipertandingkan.

Kelmarin, jurucakap NLD Htein Win mendakwa parti itu menguasai lebih 70 peratus kerusi yang dipertandingkan di peringkat Parlimen, lebih dua pertiga majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan demokrasi pertama sejak awal 1960-an.

Menurut BDNews, bagaimanapun, angin perubahan yang dijangka berlaku di Myanmar dilihat tidak membawa sebarang kesan positif terhadap etnik minoriti terutamanya masyarakat Islam Rohingya.

Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Rohingya Eropah (ERC), Mohamed Ibrahim berkata, apa juga keputusan pilihan raya kali ini nasib masyarakat Rohingya di Myanmar tidak akan terbela dan terus berhadapan dengan penindasan berterusan.

"Kalau NLD memerintah sekalipun, sukar bagi mereka untuk mengubah perlembagaan kerana 26 peratus kerusi dikuasai wakil junta tentera yang secara konsisten menolak kewujudan Rohingya," katanya.

Tiada tarikh ditetapkan bagi mengumumkan keputusan muktamad, namun pemenang pilihan raya negara itu dijangka diketahui sekurang-kurangnya hujung minggu ini.

Suu Kyi tak puas hati


AFP - PARA penyokong Suu Kyi berkumpul untuk menunggu pengumuman keputusan pilihan raya umum Myanmar di Yangon kelmarin.


YANGON – Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi semalam menuduh kerajaan Myanmar sengaja melengahkan keputusan pilihan raya umum yang berlangsung pada Ahad lalu.
“Suruhanjaya Pilihan Raya sengaja melewatkan pengumuman keputusan pilihan raya ini.
“Ia mungkin kerana mereka cuba menipu atau melakukan sesuatu,” kata jurucakap NLD, Win Htien kepada pemberita di kediaman Suu Kyi di Yangon selepas mesyuarat parti berkenaan.
Menurutnya, adalah tidak munasabah untuk suruhan jaya itu mengumumkan keputusan pilihan raya itu secara beransur-ansur.
“Perkara seperti ini tidak patut berlaku,” tambahnya.
Terdahulu, Suu Kyi, 70, berkata, beliau percaya partinya mendapat majoriti di Parlimen selepas pilihan raya bersejarah itu, menurut laporan Perbadanan Penyiaran British.
Menurutnya, NLD memenangi 78 daripada keseluruhan 88 kerusi di Dewan Rendah Parlimen setakat semalam sekali gus bakal mencatat kemenangan besar apabila keputusan pilihan raya diumumkan.
“Kami (NLD) telah memenangi sekitar 75 peratus kerusi Parlimen,” kata Suu Kyi.
NLD memerlukan sekurang-kurangnya 67 peratus kerusi Parlimen untuk mencatat kemenangan majoriti sekali gus membentuk kerajaan demokrasi pertama di Myanmar.
Kelmarin, Parti Kesatuan Solidariti Dan Pembangunan (USDP) yang memerintah Myanmar mengaku kalah dalam pilihan tersebut.
“Kami sudah kalah,” kata pemangku pengerusi USDP, Htay Oo kepada agensi berita Reuters dalam satu wawancara sehari selepas negara rantau Asia Tenggara itu mengadakan pilihan raya umumnya yang pertama dalam tempoh 25 tahun.
Dalam pada itu, pasukan pemerhati Kesatuan Eropah (EU) yang disertai oleh 150 anggota dari semua negara EU menyatakan, pihaknya ber­puas hati dengan proses demokrasi di Myamar itu dan memuji suruhanjaya itu kerana melaksanakan tugas dengan baik.
“Kami kagum kerana pilihan raya ini berjalan dengan aman. Ia adalah lebih baik daripada jangkaan awal,” kata ketua pasukan pemerhati itu, Alexander Graf Lambsdorff.
Menurutnya, 95 peratus daripada lebih 500 pusat mengundi yang dipantau mendapat penarafan baik oleh badan berkenaan. –Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3r8Iw4eZu 
Hakcipta terpelihara 

Harapan rakyat terhadap NLD


Sebahagian penyokong Parti NLD berhimpun di hadapan ibu pejabat parti itu di Yangon, Myanmar, kelmarin. REUTERS
YANGON 10 Nov. – Harapan rakyat Myanmar hidup dalam sebuah negara demokrasi semakin menjadi kenyataan susulan kemenangan besar parti pembangkang, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang dipimpin oleh ikon terkenal, Aung San Suu Kyi.
Kiraan undian setakat ini me­nunjukkan NLD memenangi 78 daripada 88 kerusi Dewan Rakyat, sekali gus menunjukkan petanda parti tersebut bakal mencatat kemenangan besar ke atas parti pemerintah, Parti Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USPD).
Parti pimpinan Suu Kyi perlu meraih 67 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan di Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen bagi mencapai kemenangan majoriti, sekali gus menamatkan pemerintahan junta dan membentuk kerajaan yang berasaskan demokrasi.
Kemenangan NLD juga membangkitkan semangat kira-kira 30 juta pengundi yang mahu beberapa isu besar diketengahkan oleh kerajaan baharu di bahawa kepimpinan Suu Kyi.
Menurut portal Mizzima yang memetik keputusan tinjauan sebelum pilihan raya, rakyat Myanmar berharap kerajaan demokrasi dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi sebagai isu paling utama selain isu keamanan dan pendidikan yang boleh menjamin kestabilan politik serta masa depan negara.
Menyentuh isu pembangunan ekonomi, rakyat Myanmar berharap sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) akan ditarik semula sebagai memberi laluan kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan sosial.
Majoriti pengundi juga percaya bahawa melalui sistem demokrasi, sebuah kerajaan dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik berbanding kerajaan yang diperintah oleh tentera.
Malah, kebanyakan pengundi menolak propaganda yang disebarkan oleh kumpulan pelampau Buddha prokerajaan yang mendakwa undian terhadap NLD boleh memberi kelebihan kepada masyarakat minoriti Islam.
Selain itu, sebagai menyatakan sokongan kuat terhadap peralihan demokrasi, rakyat Myanmar menyokong isu-isu melibatkan hak asasi manusia dengan membenarkan masyarakat di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan ma­sing-masing. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/harapan-rakyat-terhadap-nld-1.157015#sthash.HbBTUHtt.dpuf

Tuesday 10 November 2015

Parti pemerintah Myanmar akui tewas


SELASA, 10 NOVEMBER 2015 @ 8:17 AM

  PEMANGKU pengerusi Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP), Htay Oo. - Foto EPA


NAYPYITAW/HINTHADA (Myanmar): Parti pemerintah Myanmar mengaku tewas pada pilihan raya umum selepas parti pembangkang yang diketuai tokoh demokrasi, Aung San Suu Kyi menang besar bagi membentuk kerajaan baharu. "Kami tewas," kata pemangku pengerusi Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP), Htay Oo memberitahu Reuters, sehari selepas Myanmar menghabiskan pilihan raya bebas kali pertama sejak lebih suku kurun. Menjelang petang semalam, penjual di luar ibu pejabat parti Liga Kebangsaan Bagi Demokrasi (NLD) di pusat komersial di Yangon menjual baju-T dengan tertera wajah Suu Kyi dan perkataan "We Won" (Kita Menang). Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar mengumumkan keputusan pilihan raya yang berlangsung pada Ahad dengan parti Suu Kyi menang 49 daripada 54 kerusi pertama yang dikira semalam. Pilihan raya itu menyaksikan 330 kerusi dipertandingkan. Washington mengalu-alukan pilihan raya berkenaan yang disifatkan kemenangan kepada rakyat Myanmar namun mahu memantai proses demokrasi itu sebelum membuat sebarang perubahan kepada sekatan Amerika Syarikat (AS). NLD berkata, menerusi pengiraan keputusannya di pusat pengundian menunjukkan parti itu menguasai lebih 70 peratus kerusi yang dipertandingkan di peringkat Parliamen, lebih dua pertiga majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan demokrasi pertama sejak awal 1960-an. "Mereka mesti menerima keputusan itu walaupun mereka sebenarnya tidak mahu," kata jurucakap NLD, Win Htein. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/95815

NLD kuasai PRU Myanmar


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 NOVEMBER 2015

NLD kuasai PRU Myanmar

NLD kuasai PRU Myanmar Penyokong NLD bersorak selepas mendengar keputusan pertama yang memihak kepada parti itu di Yangon, semalam. Foto: AFP

YANGON - MYANMAR. Parti pembangkang Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi dijangka mencatat kemenangan bersejarah dalam pilihan raya umum negara itu, apabila memenangi 15 daripada 16 kerusi dalam keputusan awal yang diumumkan semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tin Aye berkata, parti Liga Demokrasi bagi Kebangsaan (NLD) turut memenangi tiga kerusi Parlimen serantau.

Sementara itu, jurucakap NLD Win Htein mendakwa parti itu telah memenangi lebih 70 peratus daripada kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Jumlah itu katanya cukup bagi NLD membentuk sebuah kerajaan.

Pada masa sama, Suu Kyi memberi isyarat kemenangan partinya bagaimanapun, beliau menggesa supaya penyokongnya tidak mencetuskan provokasi kepada pihak lawan.

"Belum ada keputusan yang sah tetapi rakyat sudah tahu apa yang sebenarnya telah berlaku.

"Apa pun, saya minta semua bertenang kerana belum masanya untuk meraikan kemenangan," kata pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.

Sebelum itu, parti pemerintah, Parti Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USDP) menerusi pemangku pengerusinya Htay Oo mengaku kalah kepada NLD dan bersedia menerima keputusan pilihan raya berkenaan, menurut laporan CNN.

Aung San Suu Kyi lakar sejarah


Parti NLD pimpinan pemimpin pembangkang Myanmar menang besar pilihan raya umum
10 November 2015 12:37 AM


YANGON 9 Nov. - Pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi, semakin hampir melakar sejarah negara ini, apabila Parti Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinannya dilaporkan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara ini, semalam selepas menyapu bersih semua 12 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di ibu negara.
Pengerusi Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tin Ayu berkata, berdasarkan keputusan setakat ini, parti NLD memenangi kesemua kerusi di Yangon, bandar terbesar di negara ini dan tiga lagi kerusi di kawasan lain.
Sehingga pukul 9 malam ini, NLD memenangi 35 daripada 36 kerusi Parlimen.
Dalam pada itu, Suu Kyi berkata, walaupun keputusan rasmi pilihan raya masih belum dikeluarkan, kiraan awal menunjukkan partinya memenangi lebih 90 peratus undian di wilayah tengah Myanmar yang padat dengan penduduk.
Parti pemerintah Myanmar, Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USDP) dilaporkan akur dengan pilihan rakyat.
Suu Kyi dalam kenyataannya di ibu pejabat NLD di Yangon, turut memberi bayangan bahawa parti pembangkang itu mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut.
“Masih awal untuk mengucapkan tahniah kepada calon kita atas kemenangan tersebut.
“Tetapi saya rasa semua pihak tahu tentang keputusan yang bakal diumumkan,” kata pemimpin berusia 70 tahun itu.
Jurucakap NLD, Win Htein berkata, parti pimpinan Suu Kyi turut mencatat kemenangan lebih 65 peratus undi di wilayah luar bandar termasuk di negeri Mon dan Kayin.
“Berdasarkan laporan terkini, NLD meraih kemenangan 70 peratus kerusi Parlimen, jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun keputusan awal di lima negeri lain masih belum diketahui dan tidak dapat dipastikan, sama ada NLD boleh mencapai kemenangan dua pertiga daripada 323 kerusi Parlimen yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan demokrasi pertama sejak awal 1960-an.
Walaupun Suu Kyi mencatat sejarah baharu, hala tuju Myanmar ke arah negara berdemokrasi dilihat masih berliku kerana timbul persoalan bagaimana Suu Kyi dan parti lain berunding untuk berkongsi kuasa dengan pihak tentera.
Malah, jika Suu Kyi mendapat majoriti dalam Parlimen, beliau masih dilarang untuk bertanding sebagai Presiden mengikut Perlembagaan yang digubal oleh kerajaan junta bagi mengekalkan kuasa tentera dalam pemerintahan.
“Saya masih boleh berkuasa di bawah kepemimpinan Presiden baharu,” kata Suu Kyi sambil menyifatkan Perlembagaan itu sebagai mengarut.
Sementara itu, pemangku Presiden USDP, Htay Oo mengalami kekalahan di kubu kuat parti tersebut di Ayeyawaddy selepas NLD menyapu bersih kemenangan di kawasan terbabit.
“Parti USDP tewas semua kawasan di Ayeyawaddy,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aung-san-suu-kyi-lakar-sejarah-1.156761#sthash.EAFufTWj.dpuf

Monday 9 November 2015

Rakyat Myanmar mengundi



Suu Kyi dikerumuni wartawan dan jurugambar ketika meninggalkan sebuah pos mengundi di Yangon, Myanmar semalam.- AFP


YANGON – Rakyat Myanmar keluar membuang undi semalam dalam pilihan raya bebas pertama di negara itu dalam tempoh 25 tahun bagi memberi laluan kepada pemerintahan demokrasi.
Parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi (gambar kecil), Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) dijangka mendapat undi paling besar daripada kira-kira 30 juta pengundi yang memilih dalam beberapa ribu anggota Parlimen dan wakil rakyat tempatan.
Namun, legasi pemerintahan tentera di Myanmar bermakna beliau tidak boleh menjadi Presiden selepas pilihan raya walaupun NLD menang besar, manakala ramai pengundi sangsi pemimpin-pemimpin tentera akan menerima keputusan pilihan raya bebas itu.
“Saya telah melakukan tanggungjawab saya untuk mewujudkan demokrasi,” kata seorang bekas guru, Daw Myint selepas mengundi untuk NLD di Yangon.
Sementara itu, kereta Suu Kyi dikerumuni wartawan dan jurugambar ketika beliau tiba di sebuah pos mengundi di luar Yangon untuk membuang undi.
Di ibu kota Myanmar, Naypyidaw pula Ketua Komander Tentera, Min Aung Hlaing berkata, tiada pilihan raya semula seperti yang berlaku pada 1990 apabila Suu Kyi memperoleh kemenangan tetapi ditolak oleh junta tentera.
Suu Kyi, 70, menghabiskan masa 20 tahun selepas itu berada di bawah tahanan dalam rumah sebelum dibebaskan pada 2010.
Ditanya apakah perasaan beliau jika NLD menang kali ini, Min Aung memberitahu wartawan: “Jika rakyat memilih mereka, tiada sebab untuk kami tidak menerimanya.”
Untuk menubuhkan kerajaan dan memilih presidennya sendiri, NLD secara bersendirian atau bersama pakatannya perlu menang lebih dua pertiga daripada semua kerusi yang dipertandingkan.
Berbeza pula dengan parti pemerintah, Parti Kesatuan Solidariti Dan Pembangunan (USDP) hanya memerlukan bilangan kerusi yang jauh lebih kecil untuk memerintah sekiranya ia mendapat sokongan blok tentera di Parlimen.
Keputusan pilihan raya kali ini dijangka diketahui secara beransur-ansur. Beberapa pegawai pilihan rata berkata, pemenang sebilangan kecil kerusi Parlimen akan diumumkan lewat malam tadi dengan keputusan keseluruhan dijangka paling awal diketahui petang ini.
Dalam ucapan prapilihan raya pada petang Jumaat lepas, Presiden Thein Sein menegaskan bahawa kerajaan komited untuk memastikan pilihan raya kali ini berjalan secara telus dengan lebih 10,000 pemerhati mengawasi proses tersebut yang melibatkan sejumlah 91 parti politik.
Kawalan keselamatan di seluruh Myanmar juga ketat. Seramai 40,000 anggota polis ditugaskan untuk mengawasi pusat-pusat mengundi di seluruh negara. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3qwXuzvRT 
Hakcipta terpelihara 

Parti Suu Kyi diramal menang?


Myanmar adakan pilihan raya dalam tempoh 25 tahun

Aung San Suu Kyi (kanan) melambai ke arah penyokongnya semasa
Aung San Suu Kyi (kanan) melambai ke arah penyokongnya semasa melawat pusat pengundian di kawasan pilihan rayanya, Kawhmu, semalam. REUTERS
YANGON 8 Nov. - Rakyat Myanmar keluar mengundi pada pilihan raya umum paling bersejarah hari ini, sebagai usaha menamatkan pemerintahan junta dan memulihkan proses demokrasi negara ini buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun.
Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai ikon terkemuka pembangkang, Aung San Suu Kyi dijangka memenangi pilihan raya tersebut yang menyaksikan kira-kira 30 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka memilih 6,065 calon yang bertanding dalam kerusi Parlimen dan kawasan.
Keputusan menyeluruh pilihan raya itu hanya diketahui awal pagi esok, tetapi Suu Kyi masih berdepan cabaran besar untuk dipilih sebagai Presiden walaupun Parti NLD mencatat kemenangan besar susulan kebimbangan pengundi terhadap reaksi pemimpin tentera jika situasi tersebut berlaku.
Malah, wujud kebimbangan terhadap ketelusan pilihan raya berkenaan selepas khabar angin menyatakan kira-kira empat juta pengundi yang layak tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam proses pengundian.
Selain itu, Parti NLD mendakwa, sejumlah besar kad pengundian tambahan telah diletakkan di beberapa kawasan termasuk kes sebuah keluarga yang mendapat 38 helai kertas undian.
Aksi Suu Kyi membuang undi di pusat pengundian di Yangon menjadi tumpuan media dan orang ramai yang mahu pemerintahan tentera ditamatkan bagi membuka laluan kepada pentadbiran berasaskan demokrasi.
Seorang daripada pengundi, Khin May Oo, 73, percaya pilihan raya kali ini bakal menyaksikan perubahan besar kepada pentadbiran negara.
“Namun, saya bimbang dengan pihak tentera sama ada mereka boleh menerima keputusan pilihan raya jika mereka kalah,” katanya.
Walaupun NLD mencapai kemenangan, pihak tentera masih mempunyai kuasa yang kuat dalam kerajaan selepas Perlembagaan yang digubal di bawah kepimpinan Presiden, Thein Sein membenarkan beberapa kementerian penting dipegang oleh tentera.
Tentera juga boleh mengambil alih kerajaan di bawah keadaan tertentu selain menguasai agenda ekonomi dengan memegang beberapa syarikat utama kerajaan.
Keputusan pilihan raya kali ini juga dijangka menentukan nasib golongan etnik minoriti terutama­nya Rohingya yang dinafikan hak sebagai rakyat Myanmar untuk me­ngundi dan perubahan dasar yang bakal dilaksanakan Suu Kyi jika beliau menang. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/parti-suu-kyi-diramal-menang-1.156424#sthash.k6ZM9SAY.dpuf

Sunday 8 November 2015

'Hormat keputusan pilihan raya'


Yangon: Presiden Myanmar berkata, dia dan kerajaan serta tentera menghormati keputusan pilihan raya negara itu yang dijadualkan hari ini dan dijangka mampu dimenangi parti pimpinan ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi.

Presiden Thein Sein berkata: “Saya tahu ada pihak yang bimbang keputusan pilihan raya tidak dihormati. Namun, saya ingin menegaskan kami akur dengan hasil proses pilihan raya yang bebas serta mengikut demokrasi ini.”

Kenyataannya juga menjadi mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan akan mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil walaupun ada pihak mempertikaikan senarai pengundi yang tidak lengkap dan penindasan terutama terhadap golongan Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai warganegara seterusnya tidak dibenarkan mengundi.

“Kami akan melihat hasil keputusan pilihan raya dan bekerjasama dalam arena politik baru jika perlu,” kata Thein.

Sebelum ini pada 1990 junta tentera yang memerintah enggan menerima keputusan pilihan raya yang dimenangi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Suu Kyi.

Sebaliknya tentera meneruskan pemerintahannya sejak 1962 sebelum tunduk pada tekanan antarabangsa dan mengadakan pilihan raya pada 2010. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:04 AM

Thein
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91650#sthash.Q4JYM3Va.dpuf

Saturday 7 November 2015

Lebih daripada presiden: Suu Kyi

AFP
Yangon: Pemimpin pembangkang Myanmar Aung San Suu Kyi semalam berkata, kuasanya akan ‘melebihi presiden’ dan dia yang akan mentadbir kerajaan jika partinya memenangi pilihan raya bersejarah hujung minggu ini.

Rakyat Myanmar akan mengundi Ahad ini dalam pilihan raya yang akan melihat tentera yang sudah puluhan tahun memerintah negara itu hilang sejumlah besar kuasa.

Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi dijangka menang jika pilihan raya itu diadakan secara bebas dan adil.

Bagaimanapun, menurut perlembagaan yang disediakan tentera, Suu Kyi, 70, diharamkan bertanding untuk menjadi presiden menerusi klausa yang dipercayai dibuat untuk menghalangnya memegang jawatan berkenaan.

“Jika NLD menang, kuasa saya akan melebihi presiden,” katanya kepada wartawan.

Ketika diminta menjelaskan kenyataannya, Suu Kyi berkata: “Saya sudah menyediakan rancangan.

“Saya akan mentabir kerajaan dan kita akan mempunyai seorang presiden yang akan bekerja selaras dengan dasar NLD,” katanya ketika diwawancara di perkarangan rumahnya di Yangon, tempat dia ditahan selama beberapa tahun oleh pemimpin tentera.

Laluannya untuk menjadi presiden dihalang oleh klausa perlembagaan yang melarang mereka yang mempunyai anak warga asing menjadi presiden. Dua anaknya memiliki pasport Britain. Mendiang suami Suu Kyi ialah ahli akademik Britain.

Ramai yang berharap pilihan raya Ahad ini akan menjadi yang paling bebas dan adil. Pilihan raya pada 1990 yang dimenangi NLD tidak diiktiraf oleh tentera. Parti itu memulaukan pilihan raya 2010.

Kenyataan Suu Kyi semalam dilihat sebagai cabaran kepada Parlimen yang dikuasai tentera dan penyokongnya yang melihat dia sebagai tunjang kepada perjuangan demokrasi negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 1:18 PM

PENYOKONG Suu Kyi mendirikan pentas di stesen kereta api utama di Yangon semalam sebagai persiapan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran menjelang hari mengundi Ahad depan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91153#sthash.JdQtiXNL.dpuf

Penduduk Islam Myanmar pulau pilihan raya


GAMBAR bertarikh 29 Oktober lalu memaparkan kakitangan pilihan raya menyediakan kertas undi di Sittwe, Rakhine, Myanmar. - REUTERS
YANGON 6 Nov. – Masyarakat Islam di Myanmar dijangka memulaukan pilihan raya umum negara ini pada Ahad ini, sebagai membantah penindasan terhadap kira-kira 1.1 juta penduduk minoriti etnik Islam Rohingya.
Walaupun 135 kumpulan etnik minoriti di Myanmar diberikan status kerakyatan, tetapi etnik Kaman yang juga merupakan penganut Islam menerima nasib yang sama se­perti etnik Rohingya kerana terpaksa tinggal di kem pelarian, ekoran keganasan agama pada 2012.
Seorang daripada kira-kira 2,000 etnik Kaman, Soe Hlaing yang diberikan hak mengundi berkata, dia tidak akan menunaikan tanggungjawab tersebut kerana terpaksa menanggung penderitaan akibat larangan dan sekatan yang dikenakan pihak berkuasa Myanmar terhadap masyarakat Islam di negara ini.
Jelasnya, sejak ditempatkan di kem pelarian di Ohn Daw Gyi berdekatan Sittwe, kerajaan Myanmar mengenakan larangan dan sekatan yang sama ke atas etnik Islam lain seperti yang dialami masyarakat Islam Rohingya.
“Saya tidak akan mengundi selagi semua orang tidak dibenarkan mengundi.
“Malah, sebagai bantahan terhadap penindasan ke atas etnik Ro­hingya, saya tidak akan menggunakan hak mengundi tersebut,” katanya.
Kira-kira 150 orang daripada 100,000 penduduk Islam yang tinggal di 20 buah kem pelarian di sekitar Swittwe, ibu negeri Rakhine dibenarkan mengundi oleh pihak berkuasa Myanmar.
Soe Hlaing dan penduduk Islam lain berharap Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai ikon pembangkang Aung San Suu Kyi dapat memenangi pilihan raya tersebut, sekali gus membentuk kerajaan yang lebih demokrasi.
“Sebelum tercetus keganasan agama pada 2012, kami mengundi parti pemerintah, Parti Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USDP), tetapi mereka tidak pernah melin­dungi kami.
“Saya berharap kerajaan yang bakal diketuai NLD dapat membenarkan kami pulang ke rumah dan tidak lagi tinggal di kem pelarian,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-islam-myanmar-pulau-pilihan-raya-1.155540#sthash.o3PiwvTB.dpuf